Nilai, 2 September 2009 – Wabak Influenza A (H1N1) dilihat kini semakin serius penularannya. Ini berikutan sehingga kini kes kematian mencecah ke angka 72 orang. Atas rasa prihatin dan tanggungjawab, Unit Kesihatan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil langkah awal bagi mencegah penularan wabak ini dengan membuat pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1) di setiap Jabatan USIM.

Pemeriksaan ini diadakan bermula pada 2 hingga 11 September 2009 dan dimulai dengan pemeriksaan saringan di Bangunan Canselori yang melibatkan Jabatan Canselori, Bendahari dan Pendaftar. Kemudian diikuti pusat-pusat dan fakulti-fakulti untuk hari yang berikutnya.

Pemeriksaan ini telah dijalankan oleh Dr. Junaidah bt Abd. Wahab, Pegawai Perubatan Unit Kesihatan Pelajar USIM.

Selain itu USIM turut mengarahkan semua kakitangan akademik supaya memperuntukkan beberapa minit untuk memaklumkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan Influenza A (H1N1) kepada para pelajar sebelum memulakan kuliah/ tutorial. Tindakan ini secara tidak langsung dapat membantu memaksimumkan penjagaan kebersihan diri dan peka kepada tahap kesihatan para pelajar bagi mencegah penularan wabak ini.

“Pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1) ini merupakan inisiatif Unit Kesihatan Pelajar memandangkan Influenza A (H1N1) kini semakin serius penularannya. Ianya sebagai langkah awal bagi mencegah penularan wabak ini,” kata Dr. Junaidah.

“Walaupun penularan wabak  Influenza A (H1N1) di USIM masih dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan, saya menyarankan agar semua warga USIM memakai topeng keselamatan terutama mereka yang bersimptom sebagai langkah berjaga-jaga,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau, komuniti kampus keseluruhannya perlu mengamalkan batasan pergaulan (social distancing) di samping menjaga kebersihan diri yang baik.

Sehingga jam 4.00 petang, hampir 200 kakitangan USIM telah melakukan pemeriksaan saringan Influenza A (H1N1). Rata-rata mereka berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan tidak membimbangkan.

pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028