BUKIT MERTAJAM, 31 Oktober 2019- USIM diwakili oleh para mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) telah menganjurkan Klinik Ibadah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Penglihatan) Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 31 Oktober 2019.
Klinik Ibadah ini merupakan salah satu aktiviti utama yang dirangka di bawah program Lawatan Ilmiah dan Khidmat Ummah anjuran para mahasiswa FPQS yang dibuat secara berkala di beberapa buah Sekolah Pendidikan Khas seluruh Malaysia.
Antara pengisian yang dibuat sepanjang program Klinik Ibadah ini adalah terapi ruqyah, tahsin wudhu’ dan rukun solat serta amalan zikir selepas solat. Sepanjang program ini, para murid OKU Penglihatan berpeluang mendapat khidmat bantuan daripada para mahasiswa USIM untuk mendalami kefahaman serta memperbetulkan ibadah-ibadah yang terdapat di dalam silibus pembelajaran yang juga menjadi rutin harian mereka.
Dari pihak mahasiswa pula, program ini memberikan pengalaman dan pendedahan baru kepada mereka mengenai dunia tanpa penglihatan yang dilalui oleh para murid di sekolah tersebut. Di antara pengalaman yang amat berguna bagi para peserta ialah apabila mereka dapat merasai sendiri cabaran-cabaran dalam usaha menyampaikan maklumat kepada murid-murid kurang upaya penglihatan tersebut. Ternyata tanpa kaedah yang sesuai, seseorang itu belum tentu dapat menyampaikan ilmu dan kefahaman yang dimilikinya kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada golongan berkeperluan khas.
Program Lawatan Ilmiah dan Khidmat Ummah ini juga telah mencetuskan jalinan pintar di antara pihak SKPK Alma dengan USIM. Selain daripada menerima pemindahan ilmu dari mahasisiwa USIM kepada murid-murid SKPK Alma, pihak sekolah juga menawarkan peluang yang sama kepada para mahasiswa dengan cara mendedahkan mereka kepada kehidupan pembelajaran khas murid-murid di sekolah tersebut. Para mahasiswa telah dibawa mengunjungi kelengkapan dan fasiliti-fasiliti istimewa di sekolah tersebut yang tidak terdapat di sekolah-sekolah biasa. Ini termasuklah perpustakaan, kantin, asrama, pusat sumber sekolah, makmal komputer dan bilik pendidikan Islam yang kesemuanya dilengkapi dengan bahan-bahan yang mesra OKU Penglihatan seperti tulisan Braille dan pemandu arah secara sentuhan.
Antara kesimpulan utama yang dapat dihayati oleh para mahasiswa yang menyertai program ini adalah masyarakat seringkali mempunyai persepsi yang kurang tepat terhadap kemampuan dan keperluan OKU Penglihatan. Sebagai contohnya, dari sudut keperluan beragama, mereka sering ketinggalan kerana kurangnya bahan bacaan dan rujukan, serta kurangnya peluang untuk disantuni oleh para agamawan.
Disediakan oleh:
Mohd Nur Adzam Rasdi
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan