NILAI, 1 NOV 2014 – Kejayaan penganjuran Pertandingan Mahkamah Moot Syariah Peringkat Kebangsaan (PMMS) pada tahun 2009 dan 2011 telah menimbulkan inisiatif kepada Pertandingan Mahkamah Moot Syariah Peringkat Kebangsaan (PMMS) bagi tahun 2014 yang berlangsung pada 1 dan 2 November 2014 bertempat di Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Pertandingan ini adalah anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta mendapat tajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Bank Rakyat.

Pada tahun ini sebanyak 10 pasukan daripada 5 buah institusi pengajian tinggi telah mendaftar sebagai peserta. Antaranya ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan juga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kesemua institusi pengajian tinggi ini menghantar 2 pasukan bagi  mewakili institusi masing-masing.

Segala proses pertandingan serta penyediaan soalan bagi pertandingan ini adalah selaras dengan kualiti dan mutu pertandingan-pertandingan mahkamah moot lain yang disertai oleh pelajar perundangan seperti LawAsia Moot Competition yang dianjurkan oleh Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), International Humanitarian Law (IHL) Moot Competition yang dianjurkan oleh Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (ICRC) serta Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pelajar Undang-undang Antarabangsa (ILSA). Pertandingan Mahkamah Moot Syariah kali ini telah dihakimi oleh hakim-hakim Syarie yang berkelayakan serta pakar di dalam amalan perundangan Syariah di seluruh Malaysia.

Pertandingan kali ini lebih istimewa kerana dibuka dengan sesi syarahan umum yang telah disampaikan oleh Y. Bhg Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut, Ketua Pengarah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), dengan syarahan bertajuk “Isu-Isu Semasa Berkenaan Syariah Dan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah”.

Pemenang Pertandingan Mahkamah Moot Syariah peringkat Kebangsaan Kali Ketiga tahun 2014 dimenangi oleh pasukan dari Universiti Malaya.

Disediakan oleh :

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204