NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) telah menganjurkan Seminar Kewangan Islam, Perakaunan dan Kewangan (iBAF2014) kali keenam pada 23 dan 24 September.

Program anjuran FEM ini turut melibatkan Pusat Pembiayaan dan Pengurusan Wakaf (PPPW), Pusat Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI) danMalaysian Muamalat Association (MMA).

Seminar ini menyediakan platform kepada penyelidik, pengamal industri, pembuat dasar, ahli akademik dan pelajar sarjana untuk berbincang dan bertukar idea, kepakaran dan cadangan ke arah memperkasakan pemahaman dan penguasaan berkaitan pengaplikasian kewangan Islam dalam sektor kebajikan sosial dan komersial. Sebanyak lebih 80 kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar ini oleh pembentang dalam dan luar negara.

Pembentangan yang menarik perhatian adalah ucaptama daripada Professor Dr. Mohammed Obaidullah dari Islamic Research and Training Institute (IRTI), Jeddah, Arab Saudi bertajuk “Making a Dent on Poverty in Muslim Societies: Lessons from Recent Microfinance Experiments”. Beliau merupakan penyandang kerusi Kewangan Islam USIM di bawah tajaan YayasanTun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI), Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Selain beliau, beberapa tokoh dalam kewangan Islam turut dijemput untuk berkongsi pentas di seminar ini antaranya Professor Madya Dr. Mohamad Sabri Haron, panel Shariah Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB); Professor Dr. Jamal Othman, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM; dan Professor Dato’ Dr. Mustafa Mohd. Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Satu sesi forum yang membincangkan berkaitan isu semasa Pendidikan Kewangan Islam yang dipengerusikan oleh Professor Dato’ Dr Muhamad Muda, Presiden Malaysian Muamalat Association (MMA).

Kejayaan penganjuran iBAF kali keenam tahun ini mendapat sokongan tajaan daripadaYayasanTun Ismail Mohamed Ali Berdaftar (YTI), PNB, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), MMA dan Max Chan.

Perasmian telah disempurnakan oleh Encik Wan Mohd Nazri Wan Osman, Pengarah Perbankan Islam dan Takaful Jabatan Bank Negara Malaysia. Turut hadir sama Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204