NILAI, 22 Julai 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memainkan peranan menarik minat pelajar sekolah menengah di Negeri Sembilan meminati bidang sains, teknologi, agama, seni, kejuruteraan dan matematik (STREAM) melalui penganjuran Program Young Innovators Challenge (YIC) 2019 peringkat Negeri Sembilan. STREAM USIM selaku penganjur utama sekali lagi mendapat kerjasama dari Chumbaka yang merupakan pengasas kepada pertandingan YIC dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) yang memasuki tahun keempat penganjurannya kali ini yang berlangsung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.
Mendapat tajaan dan sokongan dari Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Jemaah Profesor USIM dan Yayasan Taqwa, YIC berjaya menarik penyertaan 90 pelajar yang mewakili 29 pasukan daripada 27 buah sekolah-sekolah menengah di Negeri Sembilan. Menurut penasihat YIC 2019, Dr. Mohd Hafiz Abu Hassan, tiga bulan sebelum pertandingan ini berlangsung, semua mentor yang terdiri dari mahasiswa-mahasiswi USIM dan juga guru-guru sekolah yang terlibat dalam pertandingan YIC 2019 telah menghadiri bengkel yang dinamakan “Train the Trainer” (8 dan 9 April 2019).
“Bengkel ini bertindak sebagai pengenalan dan praktikal mengendalikan Arduino kepada mentor-mentor dengan bantuan Encik Izzudin dari Chumbaka. Di dalam bengkel ini setiap mentor telah dibekalkan kit Arduino oleh pihak Chumbaka.”
“Arduino adalah sebuah papan rangkaian elektronik yang mempunyai chip yang dapat di program menggunakan komputer. Melalui arduino, pelbagai peralatan berasakan elektronik seperti telefon bimbit dan sensor dapat digunakan untuk menyelesaikan pelbagai bentuk masalah yang ada di industri,” ujarnya yang merupakan pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi USIM.
Semasa hari pertandingan berlangsung, seramai sembilan orang juri telah ditugaskan untuk menilai hasil kerja para pelajar ini berdasarkan tema yang melibatkan pekerjaan-pekerjaan yang ada di Malaysia iaitu nelayan, pemandu lori, pemandu bas sekolah, pengawal keselamatan, jururawat dan penjaga stor.
Rezeki ternyata berpihak kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Syed Idrus apabila dipilih pemenang pingat emas melalui tema pengawal keselamatan. Pingat perak diraih oleh Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol dan SMK Kompleks KLIA dengan kedua-duanya bertemakan pemandu bas sekolah. Tidang pulang hampa, pelajar dari SMK Dato’ Mohd Taha dengan tema jururawat dan SMK Tanah Merah dengan tema penjaga stor meraih pingat gangsa.
Pertandingan YIC secara tidak langsung meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang teknologi dan inovasi serta membuka minda mereka untuk befikiran lebih kreatif dan kritis dalam mencari penyelesaian kepada masalah masyarakat. Pertandingan ini juga berjaya menambah rasa ingin tahu pelajar dalam mencari jalan dan meneroka cara untuk menyelesaikan masalah sekeliling menggunakan kemahiran mengaplikasikan teknologi Arduino seterusnya meningkatkan minat mereka dalam bidang STREAM.
Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Encik Fadzil Jamil, Ketua Unit Sains Sektor Pengurusan Akademik JPNS. Ia turut dihadiri Dr. Chew Yen Seng mewakili Chumbaka; Nik Liyana Fathi mewakili Yayasan Sime Darby dan penggerak STREAM USIM.
Disediakan oleh:
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan