Pandan Indah, 7 Oktober 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mula mengorak langkah untuk memberikan servis kepada komuniti setempat. Selaras dengan itu Fakulti Pergigian (FPg) USIM menyediakan program khidmat masyarakat dengan pembukaan Unit Perkhidmatan Pergigian yang dilengkapi dengan kemudahan canggih meliputi 37 dental chairs, mesin pengimbas sinar-x dan lain-lain peralatan pergigian.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir bin Wan Othman, Dekan Fakulti Pergigian merangkap Ketua Projek Sistem e-Klinikal, USIM membelanjakan RM 30 juta dalam Rancangan Malaysia kelapan (RMK8) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk melengkapkan kemudahan ICT bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan tujuan penubuhan USIM dalam memartabatkan pendidikan Islam.

Unit Perkhidmatan Pergigian USIM mempunyai pelbagai fasiliti yang terdiri daripada Klinik Pergigian, Makmal Pergigian dan bilik X-Ray. Penubuhan unit ini adalah sebahagian daripada keperluan utama di dalam pendidikan pergigian. Ianya merupakan wadah bagi amalan klinikal (clinical practice) di peringkat sarjana muda. Fasiliti yang sedia ada juga akan diperluaskan untuk amalan klinikal pelajar pasca ijazah dalam pelbagai bidang kepakaran pergigian kelak.

Bagi memudahkan proses pengurusan rekod pesakit, Sistem e-Klinikal dibangunkan sebagai sistem sokongan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam penyimpanan rekod yang digunapakai di dua lokasi iaitu Unit Kesihatan Pelajar USIM di Kampus Nilai dan juga Unit Perkhidmatan Pergigian USIM Kampus Pandan Indah.

Sistem ini beroperasi sepenuhnya pada Julai 2009 dan ianya merupakan satu aplikasi sistem operasi perubatan yang lengkap dengan fungsi-fungsi tambahan seperti kemasukan data, penyelenggaraan, inquiry dan laporan secara interaktif.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM, pembinaan sistem e-klinikal ini adalah satu lagi usaha yang penting dalam rancangan strategik ICT USIM. Pembangunan dan pelaksanaan sistem e-klinikal ini diterajui oleh tiga jabatan iaitu Pusat Pengurusan Ilmu dan Teknologi Maklumat (PPITM), Fakulti Pergigian dan Unit Kesihatan Pelajar Hal Ehwal Pelajar.

Beliau berkata demikain pada Majlis Perasmian Unit Perkhidmatan Pergigian dan Pelancaran sistem e-klinikal di kampus cawangannya yang diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda.

Objektif projek e-klinikal ini dibina adalah untuk membangunkan dan melaksanakan satu penyelesaian dalam mengintegrasikan maklumat perubatan pergigian pesakit serta meningkatkan operasi dengan lebih efisyen dalam perkhidmatan perubatan pergigian kepada pelajar, anggota-anggota USIM dan orang awam.

Sistem e-Klinikal merupakan antara kemajuan teknologi dalam menyediakan persekitaran ‘tanpa kertas’ (paperless), memudahkan pengurusan pendaftaran dan rekod pesakit. Ini bermakna proses untuk menganalisis data pesakit dan inventori dapat dilakukan dengan mudah seterusnya memastikan operasi yang dilakukan adalah secara berterusan.

Kemudahan yang disediakan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dan menjadikan USIM sebagai salah satu pusat rujukan dalam perkhidmatan rawatan pergigian dan rekod pesakit di Malaysia.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
pwartawan@usim.edu.my
06-7988025/8027/8028