NILAI – Pengorbanan insan hebat bernama ibu sungguh tiada galang gantinya. Dalam dakapan yang erat, dibelainya penuh kasih, dididiknya dengan penuh sayang dan sabar demi melihat seorang anak membesar menjadi insan berguna, berbudi, dan berjasa. Ibu bukan sekadar insan yang melahirkan, bahkan pelita dalam gelita, penunjuk jalan dalam duka, dan pencetus harapan di saat jiwa teruji. Lantaran itu, menghargai jasa dan pengorbanan ibu harus menjadi budaya dalam masyarakat, bukan hanya saban tahun, tetapi pada setiap detik dan ruang kehidupan.
Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama AEON Mall Nilai telah menyantuni komuniti setempat menerusi penganjuran Program Puisi Hari Ibu, yang berlangsung pada 10 Mei 2025 bertempat di Zon Kampus AEON Mall Nilai. Program ini dilaksanakan sebagai manifestasi kecintaan kepada ibu melalui ekspresi seni sastera yang penuh nilai insani.
Program kerjasama yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini bertujuan mengangkat visibiliti USIM dalam mendekati kelompok masyarakat melalui medium puisi yang sarat nilai moral dan kemanusiaan, di samping menyokong usaha pihak AEON dalam menjayakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, khususnya dalam memartabatkan seni dan budaya dalam komuniti masyarakat.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program ini, antaranya persembahan deklamasi puisi solo oleh Naurah Mursyidah Naili, syair dan sajak oleh Abdul Rasmin Sagal bin Abdul Rahman, serta persembahan puisi duo oleh wakil mahasiswa USIM, Muhammad Zamratur Rahman dan Rabiatul Adawiyah. Program turut diserikan dengan deklamasi puisi oleh Nik Faruqi Naim dan persembahan pembukaan oleh Zamratur Rahman.
Lebih istimewa, segmen Open Mic yang diberi nama Mimbar Kasih Ibu, Pentas Rindu dan Suara Hati Anak memberikan ruang kepada para pengunjung AEON Mall termasuk orang awam untuk turut serta menyampaikan puisi mereka secara langsung. Antara yang mencuri perhatian ialah penyertaan sukarela dari Puan Azlina, salah seorang pengunjung awam yang tampil mempersembahkan puisi dalam segmen tersebut. Manakala, ruangan menulis ucapan Hari Ibu turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat.
Anggaran seramai 40 orang kanak-kanak dan 45 orang dewasa hadir sebagai peserta bersama 18 ahli seni budaya serta 4 orang pegawai kebudayaan selaku urus setia, menjadikan program ini sebagai medan interaksi sastera yang meriah dan bermakna.
Pengarah program, Aisya Nazirah, berkata bahawa inisiatif ini adalah usaha mendekatkan masyarakat dengan seni sastera yang sarat dengan nilai, di samping memberi pendedahan kepada komuniti tentang keunikan puisi sebagai medium ekspresi dan pendidikan.
“Saya percaya ini platform terbaik untuk kami bersama komuniti menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu melalui medium puisi. Semua kelompok boleh merasa dan berkongsi dalam bahasa paling indah,” ujarnya.
Tambah beliau, program ini juga sebagai usaha promosi kepada SERUMPUN, sebuah program anjuran Kelab Penerbitan Kreatif dengan kerjasama rakan strategik seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) melalui edaran flyers mini sepanjang program. SERUMPUN dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 31 Mei dengan pengisian menarik seperti Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA), Sayembara Puisi Penulisan Jawi (SePUJA), Bengkel Deklamasi Puisi, serta pelbagai lagi pengisian yang bermanfaat.
Menurut wakil AEON Mall Nilai pula, Puan Amirah, pihaknya amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada program berimpak tinggi ini yang menyatukan komuniti melalui elemen seni yang menyentuh perasaan.
Usaha menyuburkan seni sastera dalam kalangan masyarakat akan terus membantu melahirkan generasi yang tinggi nilai empati dan cinta terhadap agama, bangsa dan tanah air. Program seperti ini membuktikan bahawa puisi bukan sekadar karya di atas kertas, tetapi denyut nadi kehidupan yang mampu menyatukan jiwa-jiwa dalam satu rasa.
Oleh: Alya Afiqah binti Adnan