NILAI,  9 Ogos 2021 – Penglibatan alumni bersama alma mater adalah signifikan dalam usaha membina jaringan kukuh, menyokong dan memberi sumbangan untuk sama-sama mengembangkan pembangunan universiti agar mereka boleh dijadikan sebagai role-model kepada para mahasiswa.

Penganjuran Sambutan Hari Alumni dilihat sebagai simbol manifestasi usaha memperkasakan institusi Alumni agar relevan dengan perkembangan semasa, juga bagi meraikan Alumni agar terus mendampingi Universiti secara berterusan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat julung kalinya menyambut Hari Alumni pada 9 Ogos secara dalam talian dengan mengaturkan beberapa program yang bermakna buat para alumni seperti Inspirational Talk, Program Graduan Profesional, Program Meet & Greet dan Pertandingan Foto Kenangan Alumni.

Beberapa anugerah ikon alumni diperkenalkan iaitu Ikon Alumni Akademik, Ikon Alumni Pentadbiran, Ikon Alumni Keusahawanan, Ikon Alumni Kesukarelawanan, dan Ikon tertinggi iaitu Ikon Perdana Alumni USIM.

Ikon Perdana Alumni USIM 2021 telah dianugerahkan kepada Dr Ahmad Kamil Jamilin, Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah yang telah bergraduasi pada tahun 2018. Penyandang anugerah ini telah menunjukkan ketokohan dalam kerjaya dan khidmat komuniti yang boleh dijadikan model kepada Alumni dan pelajar USIM.

Dr Ahmad Kamil Jamilin merupakan seorang Pendakwah, Aktivis, Konsultan dan Pelabur.

Penglibatan dan sumbangan beliau kepada masyarakat dan negara dalam bidang pengajian dan kepakaran beliau tidak asing lagi. Beliau merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis Sejak 2018, Pengasas bersama Yayasan ATHAR, Johor Bharu sejak 2020, Panel Syariah serta Duta Kehormat Kasih Holdings Sdn Bhd sejak 2019

Sumbangan beliau sebagai penasihat di beberapa agensi seperti Akademik Fakulti al-Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) 2019-2020, Penasihat Dana CSR dan Zakat PTPTN 2019-2020, dan juga Penasihat & Aktivis Glokal Ihsan, Kuala Lumpur Sejak 2020 (Fokus: Sumbangan kebajikan di pelbagai negeri dan Syria). Kini beliau juga merupakan Pengasas Skuad Al Khayr Sejak 2021 (Fokus: Pengurusan jenazah Covid-19 sekitar Selangor dan K.Lumpur).

Dalam ucapan perasmian Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, beberapa inisiatif telah dan bakal dilaksanakan kepada graduan dan alumni bagi membantu mempromosikan Universiti dan kembali berbudi kepada ibunda.

Antaranya adalah Projek Buku Iltizam “Pengemaskinian Laman Web Pusat Alumni Dan Kerjaya 1.0”, Kolaborasi Bersama industri, Projek Prosumerisme, Bengkel Pemerkasaan dan Hala Tuju Keusahawanan USIM dan Program Perkongsian Ilmu seperti Wacana Bersama Alumni (WASIM).

Jelas beliau lagi, peranan Alumni amat diperlukan bagi membantu membangunkan universiti terutamanya sebagai sumber masa hadapan apabila universiti perlu berdikari untuk menjana pendapatan bagi menampung kos operasi pengurusan universiti. Ini merupakan cabaran baru bagi USIM sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang bertanggungjawab dalam memartabatkan pelajar aliran agama sekaligus mereka boleh bersaing menjadi profesional yang berwibawa pada masa mendatang dalam pelbagai bidang kerjaya.

“USIM juga amat berbangga dengan pencapaian Alumninya dalam pelbagai bidang pada masa ini seperti bidang keusahawanan, akademik, pentadbiran dan sebagainya”.

Dalam majlis tersebut turut menyampaikan Anugerah Sumbangsih dan pelancaran Buku Khas Alumni USIM Berjanji Pada Ibunda. Ia adalah inisiatif Pusat Alumni dan Kerjaya untuk meraikan Sambutan Ulangtahun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-20. Tajuk buku, USIM Berjanji Pada Ibunda diambil daripada petikan lirik lagu Universiti iaitu ‘USIM Terus Maju’ yang ditulis oleh YBhg Tan Sri Mohd Yusof Mohd Noor, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU), USIM pertama dan komposernya ialah Tuan Hj Mahzan Manan. Lirik dan melodi lagu ini mempunyai sentuhan keajaiban tersendiri dan memberikan semangat kepada semuanya yang mendengarnya.

Sebanyak 16 buah artikel yang disumbangkan oleh alumni, usahawan alumni, staf akademik, pentadbiran dan rakan industri dimuatkan dalam buku ini. Penerbitan buku ini adalah iltizam Pusat Alumni dan Kerjaya untuk menjadikan Siri Buku Alumni USIM diterbitkan secara berkala pada masa akan datang.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan