LAHAD DATU, 7 April 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama sektor Water, Sanitation and Hygiene di bawah Islamic Relief Malaysia (IRM) berjaya menyiapkan Projek Aqua di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah. Projek Aqua yang dibina dengan kos berjumlah RM 20,000.00 akan memberi manfaat kepada 3000 orang penduduk Kampung Tagupi Laut yang terletak dikawasan Pantai Timur Sabah dalam daerah Lahad Datu iaitu kira-kira empat jam perjalanan dari Bandar Tawau.

Projek Aqua digerakkan oleh mahasiswa USIM yang terlibat dengan program kesukarelawanan Gap Year bersama IRM. Ia tercetus atas niat murni bagi memastikan penduduk kampung mendapat sumber air bersih dan bebas daripada penyakit.

Penyerahan rasmi projek ini kepada penduduk Kampung Tagupi Laut telah disempurnakan ini sendiri oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Musa Ahmad dalam satu majlis yang berlangsung pada Ahad.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan Projek Aqua akan memberi manfaat yang besar untuk penduduk. Ia mewujudkan sistem perpaipan yang bersistematik dari telaga ke kawasan penduduk, agrikultur dan masjid di samping meningkatkan kesedaran komuniti dalam aspek kebersihan dan sanitasi.

“Kejayaan menyempurnakan Projek Aqua di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah ini tidak akan berlaku tanpa sinergi erat USIM dan IRM dalam menjayakan program yang dipanggil Gap Year Volunterism USIM. USIM dan IRM berhasrat untuk membantu komuniti Kampung Tagupi Laut supaya bergerak seiring dengan arus perdana perkembangan ekonomi di Sabah”.

“Justeru, projek Aqua ini merupakan salah satu inisiatif bagi komuniti mendapat bekalan asas iaitu air bersih yang mampu meningkatkan taraf hidup setempat. Kita menyedari proses membasmi kemiskinan di Sabah punyai kekangan yang besar terutamanya cabaran geografi dan demografi tetapi dengan keprihatinan pelbagai pihak seperti yang dilakukan oleh USIM dan IRM ini, ia dapat diatasi secara kolektif”

“USIM sendiri amat menekankan aspek kesukarelawan kepada mahasiswa kami kerana ia adalah misi dakwah. Pendedahan berterusan akan melahirkan mahasiswa yang seimbang, holistik, mengenal erti syukur dan istiqomah. Tahniah kepada siswi USIM yang menggerakkan projek ini dan saya berharap agar warga USIM akan menjadi golongan yang bermanfaat kepada masyarakat” ujar beliau.

Dua orang siswi Gap Year USIM yang menjayakan Projek Aqua ini adalah Maryam Nur Imran dan Rabaatul Adawiyah Junus yang merupakan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Mereka berdua menangguhkan pengajian selama setahun untuk terlibat sepenuh masa dengan misi kesukarelawanan IRM bermula September tahun lalu hingga September 2019.

Pada majlis ini juga, USIM memberi komitmen akan membantu IRM untuk memperkasakan Pusat Pembangunan Minda Insan yang ditubuhkan di Kampung Tagupi Laut ini sejak 2012.  Pusat ini berperanan menyediakan pendidikan yang setaraf dengan arus perdana bagi pelajar pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Malah pada Februari lalu, Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM juga telah bertandang ke kampung ini menganjurkan program kesihatan.

Majlis penyerahan Projek Aqua USIM-IRM ini dihadiri Encik Mohammad Syakir Mohd Sarib, Pegawai Kanan Program Domestik IRM; Encik Surail Abdul Kahar, Pengasas Kampung Tagupi Laut ;  selebriti Diana Amir selaku ikon IRM; wakil IRM cawangan Sabah dan lebih 200 penduduk kampung.

 

Disediakan oleh:
Mohd Saifullah Zulkapli
Pejabat Naib Canselor

Disemak oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032