NILAI, 25 September 2021 – Dalam usaha meluaskan kerjasama di peringkat Asia – Pasifik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Regional Development Community (RDC) telah menganjurkan Seminar bertemakan Qalbun Leadership secara dalam talian (Webinar).
Diterajui oleh Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan (C4SS) USIM, program yang julung kali diadakan ini merupakan lanjutan kerjasama dari Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USIM dan RDC yang dimeterai pada September 2021.
Seminar ini dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM dan pembentangan dua (2) kertas kerja disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Jailani, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM serta Prof. Madya Dr Mahazan Abdul Mutalib, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri, USIM.
Objektif utama program adalah untuk memberikan pendedahan mengenai konsep dan amalan kepimpinan berteraskan qalbu (hati) berasaskan sumber kepimpinan Nabi Muhammad SAW dan Al-Qur’an. Asas dan fungsi kepimpinan berasaskan hati adalah suatu sistem yang dibuktikan berjaya pada zaman ketamadunan Islam kerana ciri-ciri Qowy (kekuatan) dan Amin (Amanah) yang diterapkan dalam pentadbiran Rasulullah, Khualfa’Ur-rashidin dan ketamadunan Islam. Seminar juga akan mendedahkan kaedah praktis terbaik kepimpinan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.
Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Zin Kandar, Pengarah C4SS USIM, dengan adanya hubungan dua hala USIM-RDC akan membuka jalan untuk meneroka kerjasama yang memberi fokus kepada matlamat pembangunan lestari sebagaimana yang terkandung di dalam SDG2030.
“C4SS yang ditubuhkan USIM dengan fungsi sebagai pusat setempat dan penyelaras pelbagai inisiatif Kelestarian dan Kesejahteraan, akan memanfaatkan rangkaian yang telah dibina oleh RDC di peringkat negara-negara Asia Pasifik. Para pensyarah dan pelajar di USIM turut berpeluang meneroka bidang kajian dan pembangunan melalui kerjasama dengan RDC di samping peluang untuk menyumbang di dalam pembangunan sosial, pendidikan, kesihatan dan kelestarian”, jelas Dr. Mohd Zin yang juga pensyarah Senibina di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM.
Menurut beliau lagi, RDC yang memberi fokus kepada matlamat SDG2030 juga telah menjalin hubungan baik dengan lebih 20 negara-negara Asia Pasifik melalui projek dan program pembangunan sosial, kesihatan dan Pendidikan. Sehingga kini, RDC mempunyai koordinator di negara-negara Asis-Pacific termasuk di Kemboja, Vietnam, Sri Langka, Nepal, Bangladesh, Butan, India, Maldives, Mongolia, Papua New Guinea, Jepun dan lain-lain.
Justeru, kepakaran USIM di dalam membangunkan modul kepimpinan dan pengurusan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli diharapkan dapat dikongsikan kepada peserta dari serata negara-negara Asia Pasifik dengan penganjuran program ini.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan