NILAI, 25 Oktober 2017 – Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI) USIM dan Pusat Peyelidikan Mizan bersama Unversiti Reitaku Jepun buat julung kali bekerjasama dalam menganjurkan konferen bertajuk ”Hubungan Malaysia – Japan di dalam Kebangkitan Revolusi Industri 4.0” yang berlangsung dengan jayanya bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia.

Konferen anjuran wakil kedua-dua negara ini menghimpunkan 10 pakar akademik mewakili Universiti Reitaku dan USIM bagi membincangkan tentang revolusi industri yang akan mengubah cara kehidupan kita pada masa akan datang. Revolusi Industri berkembang dari revolusi enjin wap, diikuti oleh revolusi perkilangan dan pengkomputeran.

Pada revolusi industri 4.0, sistem robotik akan dapat membuat keputusan dengan gabungan IOT (Internet of Things), IOS (Internet of System) dan sistem biologikal. Apabila RI 4.0 ini mula berkembang, semua industri termasuk perbankan, pendidikan, perhotelan, pengangkutan dan lain-lain akan terlibat.

Secara amnya, banyak pekerjaan baru akan dicipta dan jumlah produktiviti akan bertambah tinggi. Manusia perlu mempunyai kemahiran yang kreatif dan berkeusahawanan untuk kekal relevan dan tidak boleh diganti oleh robotik. Justeru itu, pendidikan alaf revolusi industri ini memerlukan kaedah yang baru untuk memastikan guna tenaga kerja adalah mahir.

Profesor Horaya Ono, Timbalan Presiden Universiti Reitaku menyatakan bahawa aspek kemanusiaan perlu ditekankan di dalam  perkembangan Revolusi Industri 4.0 untuk memastikan tahap sosial yang baik dikalangan masyarakat. Di samping itu, Profesor Lau Sim Yee (Universiti Reitaku) juga menyatakan bahawa kedatangan revolusi industri 4.0 ini perlu tidak dapat di elakkan dan perlu dihadapi dan perubahan paradigma minda perlu dilakukan di samping polisi-polisi yang mesra kepada RI 4.0.

Dr. Rushdan Jailani (AKEPT) pula membentangkan kertas bertajuk Kepimpinan Kalbu di mana di dalam RI 4.0, di dalam era digital, kepimpinan yang berasaskan kepada hati yang bersih dapat memastikan keadilan, kebijaksanaan, kesederhanaan dan keberanian di dalam arus pembangunan teknologi.  Di samping itu, Dr. Jamal Abdul Nassir Shaari pula menekankan kepimpinan berasaskan teknologi perlu berlandaskan kepada maqasid shariah iaitu untuk samada memberikan manfaat kepada masyarakat atau menghindarkan masyarakat dari kemusnahan. Ianya dapat dilakukan jika lima aspek kelestarian global di berikan perhatian iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali, pengarah konferen menyatakan hubungan di antara kedua-dua universiti akan diteruskan dan kesinambungan konferen akan dianjurkan pula di Jepun pada tahun hadapan. Hasil dari kertas kerja yang dibentangkan pada konferen ini akan diterbitkan sebagai buku untuk pembacaan masyarakat.

Disediakan oleh :
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali
Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)
Fakulti Ekonomi dan Muamalat