JOGJAKARTA, 16 Mei 2014 – Misi Kembara Ilmiah dan Kesukarelawan USIM di Jogjakarta, Indonesia mencapai objektif Global Islamic Student Outreach (GISO) iaitu memberi khidmat masyarakat dari aspek sumbangan tenaga, ilmu serta melaksanakan aktiviti kesukarelawan kepada semua lapisan masyarakat Islam yang memerlukan.  Misi bantuan ini telah disertai oleh Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) dan pegawai pengiring serta kakitangan Unit Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 16 Mei hingga 19 Mei 2014.

Kembara kali ini memberi peluang kepada pelajar menyumbang khidmat bakti kepada anak-anak Panti Asuhan, Prambanan.  Turut serta adalah Pelajar Tahun 3, Fakultas Kedoktoran, Universitas  Muhammadiyah (UMY), Yogjakarta yang memberi kerjasama penuh dalam menjayakan misi bantuan perubatan USIM kali ini.

Program adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak di Panti Asuhan tentang kepentingan menjaga kesihatan dalam menjalani kehidupan seharian dan matlamat tersebut telah dicapai. Pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti masalah kesihatan dan pemberian ubat-ubatan antara aktiviti yang dijalankan disamping memberi pandangan mengenai tips-tips mengamalkan cara hidup yang sihat dan bersih.

“Memandangkan Jogjakarta adalah jauh dari bandar, kemudahan dan perkhidmatan adalah amat rendah dan sukar di perolehi, dengan adanya program seperti ini secara tidak langsung dapat membantu anak-anak dan kakitangan di Panti Asuhan ini mendapat khidmat rawatan secara percuma sekiranya mengalami masalah kesihatan,” ujar Dr Nik Mohd Shafikuddin, Ketua Unit Kesihatan yang turut sama-sama menjayakan misi ini.

Selain dari itu juga rombongan turut menyampaikan sumbangan berbentuk bahan mentah seperti beras, gula dan minyak masak serta 10 naskah al-quran sumbangan Iman Publication.

“Perasaan amat teruja apabila pihak USIM memilih Panti Asuhan Prambanan sebagai tempat untuk menjayakan Misi Bantuan Perubatan dan berharap agar program seperti ini diteruskan pada masa akan datang dengan tujuan yang sama termasuklah menjalankan penilaian tahap kesihatan anak-anak ini,” ujar Pengetua Panti Asuhan yang menerima sumbangan berbentuk bahan mentah dan 10 naskah Al-Quran sumbangan Iman Publication.

Disediakan oleh:

Urusetia Program Misi Bantuan Perubatan Jogjakarta

Disemak oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)