NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) melakar sejarah baharu apabila secara rasmi diiktiraf sebagai Hab Latihan Serantau bagi program Knowledge for Change (K4C) Asia, sebuah inisiatif global di bawah naungan UNESCO yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti penyelidikan berasaskan komuniti.

Majlis perasmian pengiktirafan ini telah disempurnakan pada 8 Oktober 2025 oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, dalam sebuah majlis rasmi yang menghimpunkan wakil-wakil akademik, penyelidik, mentor, NGO serta komuniti tempatan bertempat di Dewan Kuliah Fakulti 1.2, FKP.

“USIM amat berbangga kerana dipilih sebagai hab latihan serantau K4C, dan kita komited untuk memperkasa penyelidikan berasaskan komuniti secara lestari dan inklusif,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menubuhkan Kursi Penyelidikan K4C, yang akan memberi tumpuan kepada komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan dan Selangor, selaras dengan usaha berterusan FKP dalam memperkukuh agenda khidmat masyarakat universiti.

“Melalui kerangka ini, Pusat Penyelidikan Mizan K4C memainkan peranan penting dalam memperkukuh peranan USIM sebagai universiti yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli serta tanggungjawab sosial,” tambah beliau.

Dengan tertubuhnya pusat latihan serantau ini, USIM bukan sahaja memperkukuh keupayaan penyelidikan di peringkat tempatan, tetapi juga mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan partisipatif berasaskan komuniti di rantau Asia.

Selaras dengan misi UNESCO K4C, Mizan FKP Hub berperanan sebagai platform yang menghubungkan para sarjana, mahasiswa dan pemimpin komuniti untuk mencipta penyelesaian bersama (co-creation) yang inklusif, lestari dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan FKP sebagai peneraju penyelidikan partisipatif komuniti di peringkat Asia, serta menegaskan peranan USIM dalam menyumbang kepada agenda Pembangunan Mampan (SDGs) dan visi UNESCO bagi pembinaan ilmu yang bertanggungjawab serta berpaksikan kemanusiaan sejagat.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh reputasi USIM di pentas antarabangsa, malah mengangkat FKP sebagai pelopor ekosistem penyelidikan berasaskan komuniti yang berteraskan nilai mizan, seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan ilmuwan berjiwa ummah dan berwawasan global.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr. Rajesh Tandon, Co-Chair, UNESCO Chair in Community Based Research and Social Responsibility in Higher Education, serta Dr. Arjan De Haan, Senior Program Specialist, International Development Research Centre (IDRC), New Delhi.