NILAI, 15 Julai 2017 – Seramai 500 orang pelajar sekolah membanjiri karnival melibatkan 60 pasukan menyertai pertandingan dari 18 buah sekolah dalam acara yang dianjurkan USIM bertempat di Dewan Tuanku Canselor bermula 14 hingga 16 Julai. Bersempena dengan Karnival Sekolah Kluster dan Angkat USIM 2017 ini juga turut diadakan Program Young Innovator Challange (YIC) dan juga Pelancaran N9 STEM @ Nilai.
Pada masa ini, USIM mempunyai sebanyak 42 sekolah Kluster dan Angkat di seluruh Malaysia meliputi sekolah rendah dan menengah. Sekolah Kluster adalah sekolah yang ditindikkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan pihak Universiti. Manakala Sekolah Angkat pula adalah sekolah yang dipilih oleh Universiti untuk menjadi Anak Angkat’ kepada USIM.
Program YIC mempunyai objektif untuk memberikan inspirasi kepada pelajar sekolah yang meminati bidang STEM dan boleh mengakses teknologi sumber terbuka. Pada masa yang sama ia akan membantu pelajar mengasah kemahiran dalam kehidupan meliputi aspek penyelesaian masalah, pembelajaran sepanjang hayat, kerjasama dan sebagainya. Ia juga salah satu inisiatif USIM untuk mendekatkan pelajar dengan STEM melalui Arduino, suatu alat sistem terbenam (embedded system) yang sangat asas dan mudah dipelajari oleh pelajar sekolah. Dengan menggunakan konsep mentoring, seramai 48 mentor telah dilatih menggunakan Arduino. Kini, 17 sekolah telah mendaftar untuk terlibat dengan YIC ini. Maka, pada hari pertandingan, dijangka akan ada 60 projek dari 60 pasukan yang terdiri daripada 210 peserta. Suatu jumlah yang positif dalam menggerakkan agenda STEM di Negeri Sembilan. Keunikan YIC berbanding negeri lain adalah USIM menerapkan Impious ( Beriman ) selari dengan penerapan Ilmu Intergrasi Ilmu Naqli dan Aqli, supaya semakin kita mencipta sesuatu, semakin tawaduk terhadap ilmu.
Manakala N9 STEM @ Nilai pula adalah agenda Kerajaan bagi membantu mempromosikan bidang STEM di peringkat akar umbi dan di tahap pendidikan awal pelajar lagi melalui yang diterajui oleh National STEM Movement di bawah KPM. STEM ialah akronim kepada Sains, Teknologi, Engineering (Kejuruteraan) dan Matematik. STEM dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang sedia ada dalam semua mata pelajaran STEM. STEM dalam konteks pengajaran dan pembelajaran merangkumi tiga aspek, iaitu bidang pembelajaran; Pakej mata pelajaran; dan Pendekatan Pengajaran & Pembelajaran.
Antaranya program lain yang diadakan adalah Campus Life, Pertandingan Pidato Kolej PERMATA Insan, Bengkel Debat (Bahasa Melayu), Kem Astronomi Insentif, Kolej PERMATA Insan, Rahsia Usahawan Soleh (Abdul Rahman bin Auf), Jom Masuk Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Arabic Camp & Community Engagement, Kenali Diri oleh Unit Psikologi , Kuiz Kimia, Program Transformasi Pendidikan Islam, Kembara Siswa, Klinik Tahsin Al-Quran, Program Genta Bahasa Arab dan program sukan “Hit the Bull Eye”.
Profesor Dato’ Dr. Zulkilple Abd Ghani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dalam ucapannya berkata, menyedari akan betapa pentingnya nilai pembangunan inovasi dan kreativiti untuk masa depan negara, USIM berhasrat untuk menubuhkan Tabung Saintis Muda bagi membantu membolehkan semua program inovasi dan kreativiti di Universiti dapat dilaksanakan secara optimum.
“Pihak saya amat berharap agar MOSTI dan KPM dapat membantu menyediakan geran awal bagi membolehkan usaha merealisasikan penubuhan Tabung Saintis Muda di USIM ini. Sekiranya ia dapat dilaksanakan, saya percaya, USIM akan mampu menghasilkan ramai tokoh inovasi dan InsyaAllah USIM juga berhasrat untuk menghasilkan tokoh Nobel Laureate yang akan menjadi kebanggaan Malaysia kelak”, ucap beliau.
Program yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini merupakan satu usaha bagi menyediakan platform percambahan ilmu dan pengalaman, membentuk jaringan kerjasama di antara warga USIM dan pemilik taruh, memberikan motivasi dan memupuk semangat pelajar sekolah untuk mengenali dan mencintai USIM serta memberi peluang kepada pelajar untuk merasai dan menghayati suasana kampus barakah di USIM.
Majlis Perasmian Karnival Sekolah Kluster dan Angkat USIM dan N9 STEM dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah, Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir adalah YBhg Prof Dato Dr Noraini Idris, Pengerusi National STEM Movement.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204