NILAI, 2 Jan 2015 – Musibah banjir yang melanda beberapa negeri khususnya di Pantai Timur mula menunjukkan pengurangan mangsa di pusat pemindahan apabila di beberapa tempat air mulai surut. Mangsa banjir kini mula kembali ke kediaman masing-masing dan kini mereka memasuki fasa kedua yang turut mencabar iaitu pasca banjir yang menyaksikan kemusnahan kediaman, harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa ahli keluarga kesan dari banjir yang disifatkan terburuk kali ini.

Susulan Mesyuarat Khas Ops Banjir yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan telah diadakan pada 31 Disember lalu, USIM telah diberi tanggungjawab untuk memfokuskan misi bantuan dan sukarelawan pasca banjir ke Gua Musang, Kelantan. Tidak dapat dinafikan bahawa Negeri Kelantan menjadi antara negeri yang menerima kesan terbesar dalam ujian banjir kali ini.

Justeru itu,  satu pasukan khas telah ditubuhkan diperingkat Universiti dikenali sebagai SMART Team yang akan menyelaraskan operasi ini. Pasukan ini terdiri daripada gabungan pelbagai pihak dalaman USIM antaranya Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisan USIM (PRAGMATIS), Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa (SKM). Operasi pasca banjir akan ditumpukan kepada agihan bekalan makanan dan keperluan harian serta pembersihan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, dewan dan kediaman penduduk.

Pada 2 Januari 2015 (Jumaat) jam 10.45 malam, satu majlis pelepasan ringkas kumpulan Fasa Pertama Sukarelawan USIM telah diadakan di lobi Canselori USIM. Seramai 60 orang sukarelawan telah bertolak ke Gua Musang menggunakan kenderaan Universiti yang turut disertai Pengurusan Universiti iaitu Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad ; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah dan Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali.

Sebanyak 5 tan  barangan keperluan asas seperti beras, air bersih, lampin pakai buang, susu bayi, biskut dan ubat-ubatan hasil sumbangan orang  ramai di Bilik Gerakan USIM turut di bawa oleh Kumpulan ini. Turut menyertai adalah sebuah ambulans USIM yang membawa Pegawai Perubatan  yang akan menjalankan pemeriksaan kesihatan di sana nanti.

Bagi tujuan penyelarasan tugas dan lokasi semasa di Gua Musang nanti, kumpulan ini akan bekerjasama dengan Sekretariat Himpunan Siswa Anak Kelantan (HIMSAK). Kumpulan pertama ini akan berada di Gua Musang sehingga Ahad ini manakala Kumpulan Kedua bergerak dan berada di sana pada 6 hingga 8 Januari nanti.

Naib Canselor dalam ucapan ringkas beliau mengucapkan terima kasih kepada para sukarelawan yang terlibat dan berharap khidmat bakti yang dihulurkan sepanjang di sana nanti memberi sedikit kelegaan kepada mangsa banjir bak kata pepatah ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’. Sebagai tanda komitmen tinggi Universiti kepada misi operasi pasca banjir, sejumlah peruntukan kewangan turut disediakan dan kakitangan yang terlibat sebagai sukarelawan  akan diberikan pelepasan bertugas (bekerja).

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204