SHAH ALAM, 6 DIS 2015 – Meletakkan sasaran strategik pada tahun hadapan, 2016  menjadi universiti rujukan serantau dalam bidang integrasi ilmu Naqli dan Aqli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggariskan tujuh teras strategik sebagai sandaran untuk dilaksanakan secara agresif selepas ini.

Teras ini dihasilkan semasa pemukiman Pengurusan Universiti bersama ahli-ahli strategik universiti sempena Bengkel Pelan Strategik dan Integrasi Ilmu Naqli-Aqli (Akhir Tahun) 2015 bertempat di Grand Blue Wave, Shah Alam, Selangor.

Pemukiman yang diurusetiakan oleh Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti ini telah bermula pada Khamis lalu, 3 Disember dan berakhir pada hari ini,6 Disember disertai seramai 60 orang peserta terdiri daripada ahli akademik dan kumpulan pengurusan dan profesional universiti.

Bengkel ini yang diketuai sendiri oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad memuktamadkan tujuh teras yang mencakupi pelbagai bidang seperti akademik, inovasi, kemahasiswaan, sumber manusia dan kewangan yang akan menjadi fokus utama Universiti bermula tahun hadapan. Teras yang dikenalpasti ini selari dengan sepuluh lonjakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan Tinggi.

Teras yang digariskan adalah Teras Pertama : Pembelajaran dan pengajaran berteraskan ilmu naqli dan aqli; Teras Dua : Penyelidikan dan inovasi yang relevan kepada industri dan kesejahteraan ummah; dan Teras Tiga : Graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Teras seterusnya adalah Teras Empat :  Governan dan pembangunan modal insan yang boleh menarik dan mengekalkan bakat terbaik bersifat global, multi bahasa dan seimbang; Teras Lima : Kemudahan fizikal dan prasarana yang kondusif bagi pembelajaran dan penyelidikan; dan Teras Enam : Penjanaan kekayaan.

Pusat Komunikasi Strategik USIM pula diberi tanggungjawab melaksanakan Teras Tujuh iaitu Penjenamaan dan pemposisian yang konsisten dan efektif. Melalui pemukiman strategik ini, setiap teras ini turut mengenalpasti pelan tindakan (strategi), aktiviti pelaksanaan dan sasaran yang perlu dicapai pada akhir 2016 nanti.

Pelaksanaan teras ini kelak melibatkan fakulti-fakulti, jabatan dan pusat kecemerlangan di USIM. Pada masa yang sama, teras yang dihasilkan ini juga secara tidak langsung menjadi sandaran tujahan USIM untuk menjadi rujukan diperingkat global pada 2025 dalam pengintegrasian naqli-aqli ini. Universiti pada masa kini berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun bakal mendepani cabaran kewangan pada tahun hadapan.

Pada hari terakhir pemukiman strategik ini, peserta turut berpeluang mendengar kupasan menarik mengenai integrasi ilmu naqli dan aqli dalam pendidikan semasa dan hadapan yang disampaikan oleh Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Mohd Kamal Hassan, Profesor Ulung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204