USIM, 8 April 2019 – Institut Sains Islam (ISI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertindak proaktif dengan mengadakan majlis penghargaan khas kepada ahli penyelidik KUP di atas kecemerlangan mereka yang berjaya menerbitkan artikel untuk kategori A dan B pada tahun 2018.

Majlis yang diadakan di Lounge Eksekutif, Aras 6, Bangunan Canselori USIM ini merupakan pertama kali dianjurkan oleh ISI untuk menghargai 28 ahli penyelidik tetap KUP di atas kejayaan mereka menerbitkan artikel penyelidikan di jurnal bertaraf Web of Science (WOS) dan Scopus.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, YBhg Prof Dato’ Dr Roshada Hashim berkata USIM memerlukan penyelidik yang aktif untuk membantu USIM dalam meningkatkan jumlah penerbitan artikel di jurnal yang berimpak tinggi. Ini kerana, dengan penerbitan artikel yang mempunyai impak ini membantu USIM untuk lebih dikenali terutama dalam bidang-bidang penyelidikan utama yang diterajui USIM.

Pada masa yang sama, majlis itu juga telah menjadi platform kepada ahli penyelidik KUP untuk berkongsi pandangan dan hasrat KUP dengan TNCPI USIM yang mana setiap KUP berpeluang membentangkan Road map dan Strategic Planning 2019 -2019 KUP masing-masing kepada TNCPI USIM.

Menurut Pengarah ISI, Dr Mohd Azman bin Hashim berkata, dengan penganjuran majlis seperti ini, ia dapat memberi sokongan moral dan rangsangan kepada ahli KUP untuk terus membuat kajian dan menerbitkan hasil kajian yang berimpak tinggi dan seterusnya menyumbang kepada kelestarian KUP di ISI.

ISI kini mempunyai 42 ahli penyelidik tetap yang mewakili 7 Kumpulan Penyelidikan Utama iaitu – Asian Centre for Research on Drug Abuse (ACREDA), Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Islam and Emerging Technology (ImET), Cybersecurity and System (CSS), Ibnu Haitham Centre of Islamic Technology, Green Science Technology (GST) dan Centre for Holistic Intelligence.

Sijil penghargaan kepada 28 ahli penyelidik tetap KUP diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, YBhg Prof Dato’ Dr Roshada Hashim.







Disediakan oleh:

Dr Farhana Sabri
Timb Pengarah (Penyelidikan & Perkhidmatan ISI)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)