Sebagai penghargaan dan pengiktirafan pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat USIM yang telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap program anjuran USIM, satu sesi penyerahan watikah telah diadakan pada 30 Januari yang lalu sebagai simbol pelantikan secara rasmi kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

Majlis penyerahan ini juga diadakan serentak bersempena dengan Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat bersama Pengetua bagi tahun 2012.

Naib Canselor USIM, Y.Bhg Profesor Dato. Dr. Muhamad Muda berkata, antara tujuan utama pendekatan sebegini diwujudkan adalah untuk bekerjasama dengan lebih rapat lagi diantara USIM dan pihak sekolah bukan sahaja dari sudut aspek pembangunan pelajar itu sendiri bahkan juga untuk pembangunan bersama.

Beliau menambah lagi semua pihak harus memberikan penekanan dan memastikan usaha ini dapat dijalankan dengan baik dalam memastikan ekosistem Pendidikan Islam yang baik kepada para pelajar dari peringkat sekolah menengah sehingga ke universiti.

Sementara itu, Pn. Hajah Aminah Idris, Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang berkata, banyak aktiviti yang boleh melibatkan pihak sekolah di dalam memacu kearah usaha murni ini antaranya penglibatan pelajar sekolah di dalam proses P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) universiti itu sendiri.

“Melalui penglibatan seperti ini, ianya sekaligus dapat memberikan pendedahan terus kepada mereka proses-proses pembelajaran di universiti dan ini sedikit sebanyak sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke menara gading” Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan bagi wakil sekolah kluster pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, delegasi turut dibawa melawat ke Perputakaan USIM, Kolej Kediaman 1 dan Kompleks Sukan serta meninjau kemudahan-kemudahan yang sedia ada di kampus USIM ini.

Sehingga kini, terdapat sebanyak empat buah Sekolah Kluster yang diselia oleh USIM iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah; SMAP Kajang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah.

Sekolah Kluster ini merupakan sekolah yang ditindikkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk diselia oleh pihak universiti berdasarkan bidang bitara sekolah dan universiti terpilih.

Manakala sekolah Angkat USIM pula merupakan sekolah yang dilantik dengan keinginan pihak sekolah ataupun pihak USIM sendiri.

Terdapat sebanyak 12 buah Sekolah Angkat yang telah dilantik iaitu Maktab Rendah Sains MARA Gemencheh; Maahad Ahmadi Gemencheh; Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah; Sekolah Menengah Agama Nilai; Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar; Sekolah Agama Menengah Bestari; Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah; Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi; Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi; Maahad Tahfiz Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling.

Kerjasama yang telah terjalin ini merupakan medium yang terbaik di dalam mempromosikan universiti disamping melaksanakan kolaborasi akademik, sukan dan kebudayaan antara USIM dengan pihak sekolah.

Oleh:
Khairul Azizi Elias