NILAI, 26 NOV – Pilihan seorang Pendakwa Syarie di Jabatan Pendakwaan Syariah, Selangor untuk mengambil Sijil Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajiannya di USIM pada sidang pertama Majlis Konvkesyen ke 17.
Shafezan Rusli, 32, berjaya menamatkan pelajarannya setelah setahun menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.68.
“USIM menawarkan sijil ini yang mana ia menjadi keperluan dan keutamaan dalam lapangan kerjaya khusus dalam bidang guaman syariah, pentadbiran kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia,” katanya.
“Kursus di USIM ini juga sangat relevan dengan model dan modul terkini dalam pentadbiran kehakiman syariah di Malaysia. Ini kerana wujudnya pensyarah yang berpengalaman yang terdiri daripada pegawai-pegawai kehakiman dan perundangan seperti hakim-hakim syarie, peguam-peguam dan pendakwa syarie yang sedang beramal,” tambahnya lagi.
Graduan USIM yang bekerja semasa belajar itu menyatakan bahawa terdapat beberapa cabaran sepanjang beliau menuntut antaranya kekangan bekerja itu sendiri kerana masih menguruskan kes-kes di mahkamah syariah namun ia menjadi dorongan kepada beliau untuk berkongsi pengalaman dan amalan syarie di mahkamah kepada rakan-rakan yang lain khusus bagi mereka yang merupakan graduan baharu yang melanjutkan pelajaran di USIM dalam kursus yang sama.
“Selain yuran pengajian yang berpatutan dan bersifat kompetitif dengan IPT lain, USIM juga menyediakan waktu dan sesi pembelajaran yang sesuai dengan masa seseorang pelajar yang bekerja sepenuh masa,” kata anak kelahiran Batu Arang, Selangor itu.
Pemegang Diploma Syariah dan Perundangan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu juga memegang Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Shafezan menerima sijil diploma daripada Tuanku Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud di Dewan Tuanku Canselor, USIM.
Turut hadir ke Majlis Konvokesyen beliau adalah isteri serta ibu bapa mertua beliau.
Disediakan oleh:
Muhammad Alief Hakimie Ramli
StraCommclique
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan