NILAI, 23 September 2020 –  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengorak langkah untuk memberikan nilai tambah kepada program pembangunan pelajar agar kekal relevan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MyFundAction Malaysia (MYFA) sebagai salah satu rakan strategik untuk pelaksanaan program Gap Year Volunteerism USIM.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), tahun 2020 program ini telah memasuki tahun ke 4 pelaksanaannya sejak dilaksanakan pada tahun 2017. Ia merupakan program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang dilancarkan pada tahun 2017 dengan pelaksanaan projek rintis melibatkan sembilan (9) buah Universiti Awam.

”USIM antara Universiti Awam yang terpilih sebagai pelopor bagi program ini juga universiti pertama yang melaksanakan Program GAP Year Volunteerism dan masih kekal hingga kini merupakan satu-satunya Universiti Awam yang menawarkan program ini untuk tempoh satu (1) tahun iaitu 2 semester pengajian”.

”Kita sudah mempunyai 13 alumni Gap Year yang kini ada yang sudah berkerjaya. Ada di antara mereka yang kini menjadi Prosumer atau Entrepreneur dalam bidang agro sementara yang lain didalam kerjaya masing-masing. Saya percaya, keputusan menangguhkan pengajian bukanlah satu tindakan yang merugikan mereka malah memberikan mereka peluang untuk menjadi lebih bersedia sebelum menempuh alam pekerjaan atau menjadi job creator itu sendiri”, tambah Prof Rushdan.

GAP Year Volunteerism merupakan program yang memfokuskan kepada aktiviti kesukarelawanan berteraskan khidmat negara serta memenuhi kehendak Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).  Hasrat Pendidikan Tinggi Negara adalah untuk membentuk graduan yang holistik dan seimbang.

Sehubungan dengan itu, adalah menjadi objektif utama program ini melahirkan graduan yang mempunyai semangat kesukarelawanan disamping mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat. Program ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat khususnya dalam aspek kesukarelawanan. Antara kelompok masyarakat yang didekati dan disantuni oleh mahasiswa yang terlibat adalah terdiri dari golongan, fakir miskin, pesawah dan penoreh getah, nelayan, muallaf, komuniti orang asli dan termasuklah gelandangan.

Kemahiran yang ada pada pelajar dapat dimanfaatkan kembali kepada masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu, khidmat masyarakat, libatsama masyarakat dan kelestarian alam. Tahun ini program ini akan diadakan di sebelas (11) buah lokasi di dalam negara iaitu di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Lembah Klang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Selain daripada itu, para pelajar juga akan menimba pengalaman di luar negara dengan tinggal dan menjalankan aktiviti di sana bergantung kepada keadaan Covid-19 di negara tersebut. Antara negara yang dicadangkan adalah di New Zealand, Australia, Mesir dan Indonesia.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan