NILAI, 3 November 2017 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mengukuhkan hubungan kerjasama membangunkan Projek Rumah Mizan.
Pada majlis yang sama, USIM turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lapan industri yang turut menyumbang bagi menjayakan projek rumah pintar mesra tenaga tersebut.
“Projek yang menelan belanja kira-kira RM 600,000 ini akan menjadi wakil tunggal negara ke pertandingan akhir Solar Dechatlon Middle East (SMDE) 2018 yang bakal diadakan di Dubai pada November tahun depan,” ucap YBhg Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad.
“Setakat ini persiapan USIM ke pertandingan itu mencapai 50 peratus dan kita berharap dapat menjulang nama Malaysia. Kerjasama yang terbina antara USIM dan UTM adalah dari segi kepakaran seni bina dan reka bentuk daripada USIM manakala UTM akan membantu menyediakan pakar kejuruteraan solar bagi memantapkan fungsi Rumah Mizan,” tambahnya lagi.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail. Antara rakan industri yang menjalin kerjasama adalah MAG Builders Sdn Bhd, Ainul Rahman Architect, Inovar Resources Sdn Bhd, Neapoli Sdn Bhd, Shera Public Company Limited, United Seasons Sdn Bhd, Creative Environments dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Sri Gading.
SDME dianjurkan melalui perjanjian di antara Majlis Tertinggi Tenaga Dubai, DEWA, dan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dengan matlamat utama untuk menyebar luaskan ilmu pengetahuan mengenai inovasi perumahan yang cekap tenaga dan mampan. Ia juga menyokong Strategi Tenaga Bersih Dubai 2050, yang dilancarkan oleh Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum untuk mengubah Dubai sebagai hab global bagi tenaga bersih dan ekonomi hijau, mempelbagaikan tenaga Dubai dan meningkatkan sumbangan tenaga boleh diperbaharui.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8142/8027/6284 Faks : 06-798 8204