KUALA LUMPUR 26 Okt. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul juara kali pertama bagi kategori Bahasa Melayu apabila berjaya menewaskan  Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada pusingan akhir, Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 (PPM) yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Pendebat USIM yang terdiri daripada Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd Rosseli, Mohammad Shah Izad Saleh dan Mohammad Irhamuddin Ibrahim telah berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala dan sijil penyertaan.

Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat USIM, Mohd. Ikhwan dipilih sebagai pendebat terbaik yang melayakkan mereka membawa pulang RM2,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mewakili Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Debat PPM yang pertama kali dianjurkan disertai 44 institusi pengajian tinggi. Debat ini berlangsung selama lima hari bermula 20 Oktober lalu.

Sebelum ini, PPM hanya diadakan pada peringkat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 1974. PPM 2011 adalah anjuran MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan UIAM.

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: 06-798 8027