NILAI, 28 Mac 2014 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Instititut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) menjalin hubungan kerjasama dengan Halal Industry Development Corporation (HDC) dan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) melalui Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA bagi menjayakan Program Analisis Profesional Halal di bawah skim Program Pemindahan Ilmu (KTP).

HDC menyediakan produk dan perkhidmatan pensijilan, audit, dan perkhidmatan pemantauan manakala TPMB adalah anak syarikat milik penuh Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd.

Melalui program itu, enam buah modul latihan telah dihasilkan dan akan berjalan selama 14 minggu pada setiap hujung minggu meliputi penyediaan latihan teknikal dan penyelidik, perkongsian kepakaran serta ujian makmal.

YBhg. Dato’ Dr Asma Ismail berkata, TPMB dan HDC merupakan dua gabungan hebat dalam industry halal meliputi penyediaan latihan teknikal kepada peserta, perkongsian kepakaran dan ujian makmal.

Ini bertepatan dengan USIM yang memiliki Institusi Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM) serta menerapkan ilmu naqli dan aqli iaitu gabungan al-quran dan sunnah dengan ilmu sains terutama dalam konteks halal. “Kita mahu dunia mengenali USIM sebagai universiti berteraskan Islam yang berkemampuan memainkan peranan pesat dalam memperhebatkan agenda halal ke dalam pasaran dunia” jelas beliau.

Berdasarkan kepada industri halal yang bersifat kompleks dan holistik, USIM percaya pendekatan ini mampu mewujudkan peluang ekonomi yang luas dengan menggunakan pendekatan bersepadu selaras dengan hasrat dan visi USIM dalam menintegrasikan ilmu Naqli (Wahyu) dan Aqli (Rasional) untuk mentransformasi dan menghasilkan nilai kepada Negara, ummah dan manusia sejagat.

Selain itu, program turut berperanan menyalurkan pengetahuan halal melalui pelbagai saluran termasuk teori dan praktikal, pandangan daripada sudut syariah serta meningkatkan pengetahuan dalam amalan halal dan pelaksanaan audit.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TPMB, Ahmad Husni Johari dan Timbalan Ketua Eksekutif HDC, Hasni Zarina Mohamed Khan.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm