NILAI, 16 JUN 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuktikan komitmennya dalam menyokong pembelajaran dan pengajaran berteraskan pelajar (student centered learning) serta pembelajaran luwes (fleksibel) dengan melengkapkan ke semua kolej kediaman luar kampusnya dengan kemudahan wifi berkelajuan tinggi.

Hasrat ini berjaya dicapai dengan Majlis Pelancaran WiFi Kolej Kediaman Luar USIM atau dikenali dengan IWISH bersama Telekom Malaysia (TM) pada petang semalam di Canselori USIM. Dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr, Musa Ahmad, IWISH merupakan perkhidmatan capaian WiFi yang disediakan khusus kepada pelajar yang menetap di Kolej Kediaman meliputi kawasan Kolej Kediaman Luar USIM.

Sebanyak RM 1.9 juta diperuntukkan oleh Universiti kepada TM untuk projek pemasangan  IWISH ini di seluruh kolej kediaman luar USIM meliputi Kolej Kediaman Desa Jati, Acasia Avenue, Nilam Court, Sutera Indah  yang berada di Nilai dan Kolej Kediaman Pandan Indah di Kuala Lumpur.

Kedudukan kolej-kolej kediaman luar USIM yang berada dalam jarak sukar dicapai (no signal sign) menjadikan usaha untuk mengenalpasti  penyedia perkhidmatan (service provider) yang dapat memberikan penyelesaian menyeluruh (total solution) kepada  kemudahan wifi ini telah mula digerakkan seawal 2010 lagi.

“Alhamdulillah, pihak TM berjaya menawarkan penyelesaian menyeluruh yang kita idamkan dan kini para pelajar kita dapat menikmati capaian wifi berkualiti di kolej kediaman masing-masing. Saya turut difahamkan penyelesaian menyeluruh ini bukan sahaja melibatkan capaian WiFI / internet ke kolej kediaman sahaja malah turut meliputi aspek keselamatan siber yang dipantau sepenuhnya oleh Network Operation Centre (NOC) TM yang beroperasi sepanjang masa (24 jam x 7 hari)”.

‘‘Diharapkan agar kemudahan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pelajar-pelajar USIM dalam aktiviti seharian, khususnya aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Bagi mengekang gejala vandalisme, kerjasama semua warga kolej kediaman untuk sentiasa memantau kemudahan ini amat diharapkan” ucap Naib Canselor.

Kemudahan IWISH ini secara tidak langsung memberi manfaatkan kepada 5,238 pelajar yang menginap di kolej kediaman luar USIM. Pada majlis ini juga, USIM dan TM turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama untuk projek IWISH ini selama tiga tahun mulai 2016. Pihak USIM diwakili oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Hasan Basri Awang Mat Dahan manakala TM ialah Encik Hamdan Ismail, Naib Presiden Government Sales Divison TM dan Ir Ramlan Omar, Pengurus Besar TM Negeri Sembilan.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204