NILAI, 5 Januari 2022 – Pengoperasian pejabat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan dijalankan  sepenuhnya dengan 100 peratus kehadiran ke pejabat berkuatkuasa 17 Januari 2022 ini.

Susulan itu, sejajar dengan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 08 Tahun 2021, dasar pelaksanaan imunisasi Covid-19 bagi pegawai USIM adalah, hanya individu yang telah lengkap divaksinasi dengan vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan memasuki Kawasan kampus.

Manakala staf yang belum lengkap divaksinasi hendaklah mengemukakan keputusan calitan Covid-19 yang dikeluarkan oleh mana-mana fasiliti kesihatan yang berdaftar atas kos sendiri serta memastikan tempoh sah laku keputusan tersebut tidak melebihi tempoh tiga hari ketika memasuki kawasan kampus.

Selain daripada itu, staf juga diberi pilihan untuk mengemukakan keputusan ujian calitan Covid-19 dengan menggunakan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (ujian sendiri) menggunakan sampel bendalir mulut atau calitan hidung yang telah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar/ahli farmasi/juruteknologi perubatan yang melaksanakan ujian tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM, semua staf akademik dan pentadbiran termasuk tetap, sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) hendaklah mempamerkan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera setiap kali sebelum memasuki kawasan kampus.

Jelasnya lagi, staf amatlah digalakkan menggunapakai dua (2) pelitup separuh muka serta meneruskan langkah-langkah pencegahan Covid-19 sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta merekod kehadiran atau keberadaan di pejabat masing-masing dengan mengimbas kod QR yang disediakan sepanjang berada di dalam kawasan kampus.

“Staf yang menghadapi kesukaran menguruskan anak kerana penutupan sekolah, pusat jagaan harian atau mempunyai anak yang tidak sihat boleh dipertimbangkan atas budi bicara Ketua Pusat Tanggungjawab untuk meneruskan tugasan secara Bekerja Dari Rumah dan hendaklah mengemaskini alasan melalui Sistem MyAkrab”.

Selain itu,sekiranya staf atau ahli keluarga yang berdekatan mempunyai sebarang gejala jangkitan Covid-19 hendaklah mengelakkan diri untuk hadir dan berada dalam kawasan kampus.

Sebarang pertanyaan lanjut tentang Covid-19 boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Covid-19 USIM Pusat Kesihatan Universiti USIM di talian 06-7986121 atau mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan yang berdekatan.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan