NILAI- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kumpulan Utusan buat kali yang keduanya bekerjasama menganjurkan Pesta Konvokesyen USIM Kesepuluh yang akan diadakan padai 22 hingga 25 November ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah berkata, jalinan kerjasama yang dibuat dengan pihak Utusan ini menampakkan kematangan USIM dalam memperkenalkan universiti di mata masyarakat melalui media perdana Negara.
Melalui inisiatif ini, secara tidak lansung USIM lebih dikenali dari segi kualitinya sama ada dalam aspek akademik, pentadbiran, graduan dan sumbanganya terhadap masyarakat.
“Konvokesyen USIM telah melangkah ke tahun yang ke-10. Ia menggambarkan bahawa ramai graduan USIM telah berkhidmat dan menabur bakti di merata tempat. USIM juga telah mencapai tahap kematangan yang sewajarnya dan ini terbukti apabila baru-baru ini, USIM telah menerima pengiktirafan cemerlang, ‘Tier 5’ menerusi penilaian Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi 2011 (Setara 11) yang dikendalikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)”
Baliau berkata demikian pada Majlis Pra Pelancaran Pesta Konvokesyen USIM Kali Ke-10 di Pusat Komersial, USIM di sini semalam.
Menurut Mohamed Asin lagi, antara aktiviti menarik yang bakal diadakan sepanjang pesta konvokesyen itu nanti adalah, Larian Pesta Konvokesyen, Karnival Eksplorasi Kerjaya, Pertunjukan Automobil, Pertunjukan Haiwan Kesayangan, Pertandingan Tarik Tali Terbuka, Kejohanan Futsal dan Bola Jaring Terbuka dan banyak lagi.
Tambah beliau lagi, sebahagian daripada kutipan penyertaan dalam Larian Pesta Konvokesyen itu nanti akan disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Rohingya.
Dalam pada itu, Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Melayu (Malaysia), YBhg. Datuk Zaini Hassan berkata, melalui kerjasama kali pertama pada tahun lalu, seramai 14 ribu pengunjung telah hadir melebihi sasaran awal seramai 10 ribu orang.
“Harapan saya, kerjasama pada kali ini akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada semua pihak. Dengan sasaran pada tahun ini untuk mencapai jumlah pengunjung seramai 20 ribu orang, Kumpulan Utusan dengan penuh iltizam akan berusaha membantu USIM merealisasikan impian tersebut’
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USIM, YBhg. Profesor Dr. Musa Ahmad, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti dan delegasi daripada pihak Utusan Malaysia
Pesta Konvokesyen USIM Kali Ke-10 pada kali ini menawarkan lebih 120 buah gerai jualan selain turut menganjurkan pertandingan memancing dan Konsert Pancaindera bersama-sama pihak Utusan.
Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa