KUALA LUMPUR, 31 Mac – Mata pena berupaya mengubah dunia dan lebih tajam dari mata pedang, berita yang benar pasti luas tersebar dan membawa manfaat sejagat.

Bagi menyahut seruan dan aspirasi pengurusan tertinggi universiti khususnya dalam mencorakkan kredibiliti dan kemahiran pelajar, Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik USIM telah mengajurkan Kursus Penyiaran Media USIM pada 29 – 31 Mac bertempat di Institut Penyiaran dan Penyelidikan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Kursus pada kali ini adalah susulan kejayaan Kursus Penyiaran Media 2011 dan 2012 yang telah melahirkan Ejen Berita USIM terlatih, pada kali ini pula menyaksikan seramai 25 Ejen Berita USIM telah dilantik secara rasmi.

Majlis perasmian dan penyampaian watikah telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor USIM yang turut dihadiri Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), Profesor Dr. Musa Abu Hassan dan Ketua Unit Kebudayaan Encik Ismail Ahmed

”Ejen Berita USIM akan menggalas tanggungjawab sebagai rakan media yang bertindak sebagai ejen yang akan mempromosikan aktiviti-aktiviti USIM bukan sahaja kepada khalayak Sarjana tetapi juga kepada masyarakat luar kampus apabila berita yang ditulis mendapat liputan di media arus perdana”

”Penulisan- penulisan berita yang mutakhir dan telus, membolehkan masyarakat di dalam dan luar kampus akan dapat mengikuti perkembangan yang berlaku di USIM lebih pantas” kata YBhg. Profesor Dato’ Dr Mohamed Asin Dollah.

Kursus Penyiaran Media 2013 selama 3 hari 2 malam mendedahkan kepada para peserta mengenai kemahiran kewartawanan, penulisan berita dan rencana berkualiti oleh pengamal media berpengalaman dan profesioanal seperti dari TV3, Berita Harian, Utusan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menurut salah seorang peserta, Azieqeen Azif , ”Selain mengikuti ceramah, peserta perlu membuat tugasan lapangan disekitar KLCC. Setiap kumpulan diberi tugasan menerumah responden, menulis rencana dan menyediakan dokumentari pendek dengan tajuk yang berbeza antaranya seperti isu keselamatan, kepenggunaan, jati diri dan PRU13”.

Kursus Penyiaran Media ini amat penting  untuk pendedahan awal persekitaran sebenar dunia kewartawanan selain memberi manfaat kepada pelajar untuk meningkatkan Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employbility) selepas tamat pengajian nanti.

Disediakan oleh:
Ismail Ahmed
Ketua Unit Kebudayaan BHEP USIM

Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM