Nilai, 28 Oktober 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat untuk berdiri sama gagah sebagai sebuah universiti bertaraf APEX dalam masa 10 tahun akan datang.

“Kearah itu, program-program pembangunan insaniah menjadi keutamaan universiti yang digabung jalin serta digarap dalam perkembangan dan kemajuan akademik pelajar”, kata Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Hj. Md. Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Aktiviti Sempena sambutan 10 Tahun USIM disini hari ini.

Menyingkap sejarah penubuhan USIM yang beroperasi secara rasminya pada tahun 1999,  USIM kini genap mencapai usia 10 tahun dan dikenali sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang berwawasan untuk memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan.

Menurut Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM, hasrat penubuhan USIM yang dahulunya dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), adalah berdasarkan keperluan Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan pelajar Malaysia ke Timur Tengah terutamanya dalam bidang Pengajian Islam.

“Sehingga kini USIM berkembang pesat dengan mempunyai bilangan pelajar semasa melebihi 5500 orang. USIM mensasarkan peningkatan enrolmen pelajar ke angka 16,000 pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berpendidikan tinggi untuk jangkamasa 10 tahun akan datang”, tambah Dato’ Dr. Abdul Shukor lagi.

Program Sambutan 10 Tahun USIM ini bermula pada bulan September 2009 yang lalu sehingga Julai 2010. Sambutan ini melibatkan setiap warga dan organisasi USIM meliputi setiap Unit, Bahagian, Jabatan Dan Fakulti.

Lebih 38 program dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersempena Program Sambutan 10 Tahun USIM. Antaranya adalah seperti Program Solat Hajat Dan Tahlil Perdana Bersempena Sambutan 10 Tahun USIM,  Majlis Malam USIM Bersama Media 2009, Program Jalinan Muhibbah Perjumpaan 10 Tahun Alumni USIM,  Forum Hal Ehwal Islam Bersempena Sambutan 10 Tahun USIM Kerjasama JAKIM & RTM dan Program Golf Amal Tunku Canselor USIM Bersempena Sambutan 10 Tahun USIM.

Semoga USIM terus maju dalam merealisasikan visi dan misi penubuhannya dan kesinambungan kecemerlangan yang dilakar oleh USIM dapat diteruskan oleh generasi akan datang dengan harapan yang tinggi.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028