KUALA LUMPUR– Para penyelidik USIM berjaya mengharumkan nama universiti ini apabila berjaya merangkul 5 Pingat Emas, 3 Perak dan 2 Gangsa di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2012 (ITEX 12) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 hingga19 Mei baru-baru ini.

Kejayaan yang dicapai oleh para penyelidik USIM ini merupakan suatu kejayaan yang amat membanggakan seluruh warga USIM apabila penyertaan kali pertama ini telah membuahkan hasil dengan kesemua 10 produk penyelidikan yang dipertandingkan berjaya memperoleh pingat.

Pingat Emas tersebut berjaya diraih menerusi ’Microbial Rennet From Lactic Acid Bacteria’, ‘Plan Extracts As Growth Media of Lactid Acid Bacteria for Biopreservation of Food’ yang diketuai oleh Profesor  Madya Dr. Zaiton Hassan dan ’Intact-M’ yang diketuai oleh Profesor  Madya Dr. Abd. Halim Mohd. Husin.

Sementara itu, dua lagi Pingat Emas berjaya dibawa pulang menerusi produk penyelidikan bertajuk ’E-Debt Financial Stress Tool’ yang diketuai oleh Profesor Madya Datin Dr. Hajah Sapora Sipon dan ’Methods Of Teaching The Arabic Linguistic By Applying The “Method Muthla Takamuliah” To Non-Arabic Speaking Students In The Universities Of Malaysia’ diketuai oleh Dr. Asma Abdul Rahman.

3 Pingat Perak pula dimenangi oleh para penyelidik diketuai oleh Profesor Madya  Dr. Norita Md. Norwawi menerusi ‘Live Forensic Tools’; Dr. Zurina Shafii  ’Shariah Governance And Audit In Islamic Financial Institutions’ dan Dr. Ernie Suzana Ali ’Biobased Shape Memory Polyurethane (SMPU) For Biomedical Application’.

Dalam pada itu, produk penyelidikan bertajuk ‘Efficient Malware Secure System (E3MSS)’ yang diketuai oleh Dr. Madihah Mohd. Saudi dan ’Muslims’ Spiritual Quotient Inventory (MSQI)’ diketuai oleh Puan Rezki Perdani Sawai berjaya memperoleh Gangsa.

ITEX 12 kali ini menyaksikan sebanyak 24 kategori dipertandingkan dan kesemua 10 pingat yang dimenangi oleh para penyelidik USIM diperoleh menerusi kategori Agriculture, Educational Items, ICT and Multimedia dan Materials.

Pameran bertaraf antarabangsa anjuran MINDS (Malaysian Invention and Design Society) ini merupakan satu perhimpunan pencipta tempatan dan antarabangsa serta para saintis dari bidang sains dan teknologi yang membawa bersama ciptaan terkini dan inovasi oleh universiti, institusi penyelidikan, pencipta individu dan syarikat-syarikat dari negara-negara ASEAN, Asia dan Eropah.

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa