NILAI, 29 Okt (Bernama) — Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi dua pingat emas dalam penyertaan sulung ke British Invention Show (BIS) 2013, di London baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselornya Prof Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata USIM menang ‘Best Invention Award of The Year’ dan ‘British Invention of The Year’ bagi produk perisa tambahan makanan daripada rebung.

Kejayaan ini amat bermakna bukan sahaja kerana ini penyertaan sulung USIM tetapi juga kerana menjadi satu-satunya institusi pengajian tinggi Malaysia yang menang anugerah dalam BIS 2013, katanya dalam sidang media, di sini Selasa.

Katanya kejayaan itu bukan sahaja kejayaan USIM tetapi juga negara, dalam menonjolkan kebolehan serta bakat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Anugerah ini juga menunjukkan banyak hasil bumi Malaysia boleh diketengahkan untuk menjadi produk bermutu tinggi, katanya.

USIM diwakili oleh enam pelajar tahun empat dari Fakulti Sains Teknologi ke pameran itu yang berlangsung di Barbican Exhibition Centre, London dari 23 hingga 26 Okt lepas.

Ketua pasukan Zulfawwaz Mohmad berkata produk mereka yang diberi nama ‘Bambusia Powder’ dihasilkan selepas kajian selama enam bulan.

“Sebelum ini produk kami adalah pasta tetapi ditukar mengikut standard antarabangsa melalui produk serbuk yang digunakan sebagai perisa tambahan dalam setiap makanan termasuk roti, biskut dan pastri.

“Kandungan perisa tambahan ini adalah amat baik untuk kesihatan kerana mengandungi mineral, kalsium, magnesium dan fiber yang tinggi,” katanya.- Dipetik dari BERNAMA