NILAI, 21 OGOS 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memantapkan jalinan kerjasama bersama pihak industri dengan  memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Hani D Unggul Sdn Bhd yang berlangsung di Galeri pada 21 Ogos 2015.

Melalui perjanjian ini, seramai 21 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda yang terdiri dari pelbagai bidang mengikuti program Modul ‘Publishing Attitudes’ yang akan dijalankan pada 29 hingga 31 Ogos 2015 di Dusun Eco Resort, Bentong Pahang. Ia adalah berkonsepkan aktiviti outdoor dan riadah bagi memantapkan rohani dan jasmani peserta setelah 3 minggu mengikuti kursus ini secara teori dan kuliah.

Menurut Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, USIM kini dalam usaha untuk menggerakkan dan mengaktifkan jalinan kerjasama dalam industry halal dengan pihak industry dan organisasi luar terutamanya bagi tujuan latihan, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan serta pengkomersialan, dan pertukaran/ perkongsian kepakaran agar kepakaran yang ada pada kedua-dua organisasi ini dapat dikongsikan bersama ke tahap optimum demi kemajuan ummah.

“Sejajar dengan keperluan ini,  USIM berharap dapat menyediakan graduan yang terlatih dan trampil bukan sahaja dalam bidang sarjana mereka malahan melalui sijil Progam Halal Executive Professional (PHEP) di mana melalui program ini peserta bakal memperolehi kerjaya dalam bidang halal itu sendiri”.

“USIM juga telah bekerjasama dengan syarikat SM International Wholesale (China Sdn Bhd) yang berpusat di Pelabuhan Klang di mana syarikat ini menawarkan peluang pekerjaan khususnya bagi pelajar lepasan PHEP khususnya dalam aspek halal”, tambah Dato’ Musa.

Syarikat Hani D Unggul Sdn Bhd (HDUSB) telah ditubuhkan pada 19 Ogos 2009 dengan menyediakan perkhidmatan spa dan saloon dan telah membekalkan pekerja mahir dalam dandanan rambut untuk industri tempatan di Malaysia. Selain itu, turut bertanggungjawab dalam latihan yang diiktiraf pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). HDUSB juga menyediakan kepakaran dalam Komunikasi Berkesan, Kepimpinan, Kursus Asas Halal, Team Building dan program motivasi.

Bagi menandatangani dan pertukaran dokumen, USIM diwakili oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan Dr. Mohd Sukri Hassan Pengarah IHRAM, manakala HDUSB diwakili oleh Encik Mohamad Fairus Mohamad Talhah Ketua Pegawai Eksekutif dan Puan Siti Rohani Othman Pengarah Urusan HDUSB.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204