SEREMBAN, 21 Jan 2014 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) kini melangkah setapak kehadapan dengan termeterainya MemorandumPersefahaman (MoU) bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang bertempat di Klana Resort, Seremban.

Jalinan kerjasama ini menggalakkan usahasama erat dalam membangunkan beberapa projek bagi mengembangkan amalan berwakaf terutamanya menerusi penubuhan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Hemodialisis USIM.  Melaluinya, USIM diberi kepercayaan oleh MAINS untuk mengurus dan membangunkan dana wakaf (sebagai mutawalli) dan juga mengagihkan manfaat kepada golongan sasaran yang dihasratkan wakif (orang yang mewakafkan).

Majlis menyaksikan upacara penyerahan mock cheque sebanyak RM3.5 juta yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Sebanyak RM2 juta bakal diperuntukkan untuk menubuhkan Klinik Pakar Kesihatan USIM yang akan ditempatkan di Nilai Square Bandar Baru Nilai.  Klinik ini akan menawarkan perkhidmatan pakar perubatan, pergigian dan rawatan pesakit luar yang akan dikendalikan oleh Khidmat Profesional  yang terdiri daripada doktor-doktor pakar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) USIM.

MAINS melalui Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) akan turut membina Pusat Hemodialisis USIM-MAINS dengan anggaran kos sebanyak RM1.5 juta. Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad  melancarkan Smart Zakat Tablet (SZT) oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan.  SZT bercirikan android, fungsinya dilengkapi dengan perisian kalkulator bagi memudahkan pengiraan zakat dibuat dengan cepat dan tepat.  Ia digunakan oleh para amil yang bertauliah dan terpilih di Negeri Sembilan.

“Terima kasih kepada pihak MAINS yang memberi kerjasama daripada peringkat awal dalam usahasama pembiayaan wakaf (wakaf financing) sehingga ke Singapura pada tahun lalu.  Usaha ini dapat melihat amalan tadbir urus terbaik wakaf sebagai panduan bersama untuk mendapatkan outcome terbaik seterusnya seminar di Universiti Antarabangsa Al-Bukhary bertujuan untuk mendapatkan input terkini daripada cendekiawan domestik dan antarabangsa,” ucap YBhg Prof. Dato Dr Asma Ismail.

Kerjasama ini turut menyaksikan USIM menerajui Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf dengan mewujudkan Tabung Dana Wakaf Al-Abrar USIM yang telah didaftarkan dan mendapat kelulusan oleh MAINS.

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Hj Abdul Shukor bib Hj Husin, Timbalan Pengerusi MAINS, YBhg Dato Abdul Razak Mansor, Mufti Negeri Sembilan, Pengurusan Tertinggi Universiti dan wakil-wakil MAINS dan Pusat Zakat Negeri Sembilan.

Disediakan oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Pn Syazlyna Jamil