NILAI, 15 APRIL 2015 – Memupuk budaya mencintai ilmu melalui penerbitan buku, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memeterai perjanjian bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu Majlis Menandatangi Perjanjian (MoA) di Eksekutif Lounge, Aras 6 Bangunan Canselori USIM.

Kerjasama antara DBP dan USIM yang dikelola di bawah bahagian Penerbit telah terjalin semenjak sekian lama lagi. USIM sering mendapatkan khidmat kepakaran DBP ketika berbengkel dan berkursus khususnya dalam bimbingan penulisan dan penerbitan. Sebagai sebuah badan kerajaan yang memartabatkan bahasa Melayu, DBP juga sering menjadi pusat rujukan bahasa kepada kakitangan dan pelajar USIM.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM melalui memorandum perjanjian ini, terdapat tiga buah buku yang akan diterbitkan secara bersama iaitu Darah: Titisan Berharga Penyambung Nyawa ditulis oleh Noor Fadzilah bt Zulkifli dan Ku Mastura Ku Mohd Noor, Prinsip dan Amalan Pengurusan Zakat di Malaysia ditulis oleh Mohd Faisol Ibrahim dan Bersugi dan Kesihatan Pergigian Menurut Islam ditulis oleh Normaliza Ab. Malik dan Mohd Fauzi Mohd Amin.

“Ketiga-tiga buku ini dihasilkan oleh ahli akademik USIM dan mempunyai paduan integrasi antara ilmu naqli dengan aqli iaitu “niche” atau bidang tujahan USIM. Ketiga-tiga buku ini juga telah dipilih berdasarkan judul dan pengisian yang lebih menjurus untuk bacaan masyarakat umum. Skop pembaca sasaran juga akan lebih meluas bukan sahaja khusus kepada bidang tertentu”, jelas Dato’ Musa.

“Melalui kerjasama ini, jumlah cetakan bagi buku ini dapat ditingkatkan dan jaringan pemasaran akan lebih meluas dan terfokus. USIM dapat mengkhususkan pasaran kepada institusi pendidikan seperti universiti awam dan swasta, institusi perguruan serta kolej universiti”.

“DBP pula dapat mengkhususkan jaringan pemasaran lebih kepada masyarakat umum di seluruh negara melalui Koperasi DBP yang cawangannya terdapat di seluruh negara. Selain itu, melalui kerjasama ini juga, penerbitan buku-buku ini dapat disebarkan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa melalui penyertaan USIM dan DBP di pesta-pesta buku antarabangsa antaranya Pesta Buku Brunei, Pesta Buku Jakarta, Tokyo International Bookfair dan Frankfurt Bookfair”, tambah Dato’ Musa.

Majlis menandatangi memorandum menyaksikan USIM diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan DBP diwakili oleh Datuk Dr. Awang Haji Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204