KUALA LUMPUR, 17 Jun 2023 – Kumpulan Pelajar Fakulti Pergigian (FPg), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul johan keseluruhan apabila berjaya membawa pulang 11 pingat dalam “15th National Dental Students Scientific Conference 2023” yang diadakan di Institut Pengurusan & Perkhidmatan Penyelidikan (IPPP), Universiti Malaya.

USIM selaku johan menang empat pingat emas dalam acara Research Roadmap, Table Talk, The Diagnosis Dash dan Fusion Test, selain empat pingat perak dalam acara DENTech 2023 3D Design Your Dental Clinic, DENTech 2023 Dental Education Video, Capture the Moment dan Quiz Master Competition. Selain itu, turut dimenangi adalah tiga pingat gangsa dalam acara Wildlilfe Wires, DENTech 2023 Dental Education Video dan Digital Dental Derby.

Naib Johan dimenangi oleh tuan rumah Universiti Malaya (UM) dan tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

15th NDSSC 2023 mempertandingkan 14 acara yang melibatkan 13 institusi iaitu USIM, Universiti Malaya (UM), UiTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), MAHSA University, SEGi University, Lincoln University College, AIMST University, International Medical University, Penang International Dental College dan Malaysia Manipal University College. Seramai 16 pensyarah dan 46 pelajar Fakulti Pergigian USIM menyertai program ini.

Menurut Uzair Roslan, pelajar tahun 3, Fakulti Pergigian USIM selaku wakil kumpulan berkata, “Aktiviti luar kelas seperti sukan, ko-akademik dan khidmat masyarakat ini boleh membezakan antara satu pelajar dengan pelajar yang lain. Oleh itu, jika hendak cemerlang dan jadikan diri lebih terkehadapan, setiap pelajar perlu bergiat aktif di dalam dan di luar kelas selain keperluan motivasi yang tinggi, sokongan mental dan moral dari rakan, pensyarah dan keluarga, serta keinginan untuk melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama USIM.”

“Setiap kali kami mewakili Fakulti Pergigian USIM dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan yang melibatkan fakulti pergigian di seluruh Malaysia, secara tidak langsung kami membawa nama USIM untuk bersaing dengan universiti-universiti lain yang lebih gah dan terkemuka. Tetapi itu bukanlah penghalang bagi kami untuk memberikan yang terbaik walaupun mempunyai kekangan waktu dan sebagainya”.

“Bergiat aktiflah sepanjang tempoh pembelajaran, untuk menambah ilmu pengalaman, membina rangkaian kenalan, menambah soft skills dan yang paling penting, melatih kita untuk lebih terkehadapan dan berketerampilan. Kerana satu hari nanti, kita akan membawa nama USIM dan pastinya, masyarakat memandang tinggi terhadap alma mater kita dan produk keluarannya” tambah Uzair.

Sementara itu, Dr. Ainuddin Yushar Yusof, Dekan Fakulti Pergigian USIM mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemenang atas usaha dan komitmen yang ditunjukkan untuk mencapai kemenangan yang membanggakan.

Beliau berharap agar kemenangan ini dapat menjadi inspirasi bagi pelajar lain yang mungkin menghadapi cabaran dalam pembelajaran. Pengalaman yang diperoleh dalam program ini dapat dimanfaatkan dan memberi pengalaman yang berharga kepada mereka”.

 

 

Disediakan oleh:
Saraina Kassim
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan