PUTRAJAYA – Majlis Amanat Tahun Baharu 2013 oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang memfokuskan kepada 8 agenda utama dan 44 pernyataan dasar yang bertemakan ‘Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia’ disambut dengan reaksi yang amat positif dan penuh bersemangat oleh warga institusi pengajian tinggi yang memenuhi Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Melalui amanat yang dibentangkan oleh YB Menteri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi salah satu institusi pendidikan tinggi yang menarik perhatian apabila Kementerian Pengajian Tinggi telah memilih USIM sebagai salah satu peneraju utama dalam agenda pemetaan baharu pengantarabangsaan pengajian tinggi Malaysia.

Menurut YB Menteri “Dalam konteks ini, satu usaha yang boleh menyumbang hasrat mencapai matlamat kecemerlangan ini adalah melalui cadangan penubuhan konsortium di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Islam Negara yang diterajui oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)”.

Menurutnya lagi, melalui konsortium yang diterajui oleh USIM ini akan menjadi platform memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti penyelidikan dan berkonsepkan ‘global classroom’ di kalangan IPT serantau dan OIC. “ Kementerian mengalu-alukan usaha murni ini kerana ia memperkasakan lagi perkhidmatan pengajian tinggi negara sekaligus mempromosikan Malaysia menjadi pemimpin kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat global”.

Selain itu, antara intipati lain amanat YB Menteri yang memberi peluang yang amat baik untuk direbut oleh USIM adalah melalui kewujudan dana khas penylidikan sebanyak RM 10 juta bagi membolehkan Universiti Komprehensif dan Komprehensif Berfokus membangunkan bidang tujahan masing-masing.

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM dalam reaksinya mahu warga USIM merebut peluang dana khas yang disediakan ini memandangkan USIM sebagai Universiti Komprehensif Berfokus boleh menggunakan dana ini bagi membangunkan pelbagai penyelidikan dan inovasi yang berteraskan ‘Sains Islam’ yang signifikan kepada industri, negara dan masyarakat global.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa