KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah menyerahkan komputer Braille, eBrelle kepada pihak Pusat Sains Negara melalui Program Hari Istimewa Sains yang telah dijalankan pada hari ini 25 Jun 2024.

Produk tersebut telah diserahkan oleh Naib Canselor USIM, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani kepada Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad Rahman dengan disaksikan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, isteri YAB Perdana Menteri Malaysia.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Pendaftar USIM, Yang Berbahagia Dato’ Muhammad Haizuan Rozali serta Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Profesor Madya Dr. Norakyairee Mohd Raus.

Menurut Penyelaras (Penyelidikan Inklusif) UMMI, Dr. Mohd Nur Adzam Rasdi berkata, inovasi inklusif, eBrelle (Laptop for the Blind) merupakan peranti elektronik yang berfungsi sebagai komputer riba khusus bagi individu OKU Penglihatan. Produk ini telah direka cipta oleh Syarikat eDote Sdn Bhd yang diketuai oleh Ts. Dr. Shaharil Mad Saad dan produk ini mampu untuk menulis dan mencatat teks dalam tulisan Braille serta mentranskripsi fail-fail digital dalam format PDF, Word dan Power Point. ”UMMI telah membangunkan kandungan bahan bacaan Islamik versi Braille bagi produk ini dengan kerjasama Syarikat eDote Sdn. Bhd.” ujarnya.

”Permintaan komuniti OKU terhadap bahan bacaan Islamik mengukuhkan kolaborasi strategik antara USIM dan Syarikat eDote Sdn. Bhd. dalam menawarkan peranti yang boleh memanfaatkan bahan bacaan Islamik seperti kandungan Quran Braille baharu yang memenuhi standard Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN)” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut berbesar hati dengan penyerahan produk eBrelle kepada Pusat Sains Negara dan beliau berharap agar lebih banyak inovasi yang dihasilkan untuk memberi peluang kepada komuniti OKU menikmati pendidikan yang sama seperti masyarakat normal yang lain.

”Produk ini merupakan produk kedua yang diserahkan kepada Pusat Sains Negara selepas 3D Figura Celik Solat dan semoga inovasi ini mampu membantu komuniti yang berkeperluan khas ini untuk mempelajari ilmu Agama dan dakwah dengan lebih inklusif” ujarnya.

Produk eBrelle turut dilengkapi dengan kemudahan Bluetooth dan Wifi serta mempunyai ruang penyimpanan maklumat sendiri bersaiz 32GB dan produk ini dijangka akan dipasarkan dalam masa yang terdekat bagi membantu komuniti OKU Penglihatan memperolehi akses kepada sumber ilmu.

Hari Istimewa Sains 2024 berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 26 Jun 2024 dengan menyasarkan sehingga 2,000 orang pengunjung setiap hari. UMMI turut terlibat dengan pembukaan ruangan pameran dan aktiviti seperti Kuiz Quran Isyarat, Celik Solat OKU Penglihatan dan Teka Silang Kata Braille. Pengunjung boleh mendapatkan informasi berkaitan pendidikan dan keperluan OKU selain melawat reruai dan gerai jualan yang telah disediakan.

 

sumber: Khairunnisa Ismail