NILAI, 6 MEI 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus komited dalam memperkukuhkan kerjasama komuniti apabila turut bersama-sama menyokong usaha membasmi masalah gejala penagihan najis dadah di peringkat sekolah menerusi penglibatan Pusat Pengurusan dan Penyelidikan Dadah Asian (ACREDA), USIM dalam Minggu Pendidikan & Pencegahan Dadah-Sarana Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Seremban baru-baru ini.

Minggu Pendidikan & Pencegahan Dadah-Sarana Komuniti SMK Tunku Jaafar, Seremban diadakan dengan objektif untuk menyahut seruan Kerajaan untuk memerangi gejala najis dadah habis-habisan di samping memastikan sekolah bebas daripada gejala najis dadah. Pada masa yang sama, program ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada warga sekolah dan komuniti tentang bahaya penyalahgunaan najis dadah. Selain itu juga, program ini akan dapat membantu memupuk sikap dan pendirian yang teguh di kalangan pelajar bagi membuat penilaian sesuatu tindakan yang mereka lakukan.

Memandangkan isu penyalahgunaan najis dadah ini telah menimbulkan pelbagai implikasi yang buruk, YBhg Dato’ Musa Ahmad turut menyeru agar semua pihak dapat menanamkan sikap prihatin dan memberi kerjasama kepada agensi Kerajaan untuk membanteras gejala penagihan najis dadah khususnya di kalangan pelajar sekolah.

“Program yang dianjurkan ini telah dirancang dan dilaksanakan dengan objektif untuk menunjukkan komitmen dan keprihatinan semua agensi yang terlibat dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang masalah penyalahgunaan najis dadah dalam kalangan masyarakat. Kempen ini menekankan kepentingan dan tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk menjauhi daripada gejala penyalahgunaan najis dadah”, tambah Dato’ Musa.

Antara pengisian istimewa program adalah kemunculan En Hamzah Abdul Rahim, Bekas Banduan Akhir Tali Gantung yang turut berkongsi pengalaman beliau yang meringkuk di dalam penjara hampir 30 tahun akibat kesalahan mengedar dadah dalam Forum yang diadakan selepas majlis perasmian.

Majlis Perasmian Minggu Pendidikan & Pencegahan Dadah-Sarana Komuniti SMK Tunku Jaafar, Seremban telah disempurnakan oleh YBhg Prof Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor, USIM. Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, En Omar Ahmad, Pengetua Cemerlang, SMK Taman Tuanku Jaafar, Seremban, YBhg Kolonel Shamsirudin Mohd Sharif, Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), SMK Tman Tuanku Jaafar, dan juga YBhg Dato’ Dr Abdul Halim Husin, Pengarah Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dalam ucapan perasmian tersebut, YBhg Dato’ Dr Musa Ahmad memuji usaha yang dijalankan oleh pihak SMK Taman Tuanku Jaafar hingga membolehkan program ini dilaksanakan dengan sempurna.

Disediakan oleh:

Mohd Asri Husain

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan