Kuala Lumpur, 22 Disember 2010 – Sejarah manis yang tercipta di Pertandingan Debat Diraja 2009 di Universiti Malaya dilakar kembali apabila pasukan debat Bahasa Arab Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Pertandingan Debat Diraja Antara IPTA yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 17 hingga 22 Disember yang lalu. Pertandingan Debat Diraja ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kerajaan Negeri Johor, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) serta UTHM selaku tuan rumah.

Pasukan debat ini telah membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM5000, piala iringan serta sijil. Saudara Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik yang turut membawa pulang wang tunai RM1000, piala iringan serta sijil.

Izzat yang jelas tidak menyangka bahawa dirinya telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik nyata bersyukur kepada Allah di atas kejayaannya dan beliau menambah bahawa kejayaannya ini bukan untuk dirinya sahaja malah untuk teman-teman pendebat yang lain.

“Debat Diraja 2010 merupakan kejohanan terakhir yang saya sertai sebelum mengakhiri karier saya sebagai pendebat universiti dan Alhamdulillah saya telah menamatkannya dengan kenangan yang amat manis”, ujarnya lagi yang merupakan mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang.

Pasukan USIM yang bertindak selaku pencadang telah berjaya menewaskan pasukan dari UNISZA selaku pembangkang dengan usul “Melahirkan jaguh atlet sukan adalah tanggungjawab individu”. Pasukan USIM diwakili oleh Maisarah Mohd Rafie, Mohd Najib Taha, Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif dan Firdaus Ab Rahman.

Selain itu USIM juga telah menerima beberapa anugerah dalam Majlis Malam Anugerah MADUM. Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif telah menerima Anugerah Pencapaian Individu (Kategori Bahasa Arab) manakala Mohd Ikhwan Mohd Rosseli telah dianugerahkan Anugerah Khas Pengurusan dan Tuan Haji Mazlan Nawang telah menerima Anugerah Hakim Berjasa.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor merangkap Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Oleh : Abdul Qaiyum Musa
Fakulti Syariah dan Undang-Undang