NILAI, 19 MEI 2014 – Majlis Makan Malam Media bersama Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  di sambut meriah dengan kehadiran para pengamal media cetak dan elektronik yang diadakan di Dataran Bangunan Canselori bertemakan Arabian Night pada jumaat lalu.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 20 rakan media antaranya RTM, Bernama, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian, Harian Metro, TV9 dan ramai lagi. Objektif utama adalah bagi merai dan mengeratkan silaturrahim antara pihak USIM dan rakan media selain menghargai jasa dan komitmen yang sentiasa diberikan pihak media cetak dan elektronik dalam menyampaikan berita USIM ke khalayak umum.

Pengarah StraComm, Dr. Faizal Kasmani berkata,  penganjuran majlis ini sebagai satu usaha simbolik sanjungan tinggi, penghargaan dan meraikan para pengamal media semua yang telah memberi kerjasama yang mantap dalam membuat liputan berita-berita kejayaan, peristiwa dan aktiviti-aktiviti semasa USIM. Tanpa penglibatan dan komitmen yang tinggi oleh pihak media mungkin khabaran semasa dari universiti ini tidak kesampaian ke khalayak umum di peringkat nasional.

“Hanya dengan sebatang mata pena mampu memberi impak yang besar dan hebat sehingga boleh menggegarkan seluruh negara malahan seluruh pelusuk dunia. Itulah diibaratkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh para wartawan sekalian. Tidak terkecuali juga peranan besar yang turut disumbangkan oleh jurugambar yang terus merakamkan foto-foto terhebat untuk tatapan semua”,jelasnya.

YBhg. Dato’ Dr Asma Ismail, Naib Canselor USIM turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada pihak media di atas kredibiliti, sumbangan dan komitmen yang berterusan dalam memaparkan publisiti USIM sepanjang masa dan ketika. Bagi media cetak, kewujudan akhbar sisipan khas untuk Universiti contohnya Varsiti oleh Berita Harian, Kampus dan Helo Kampus oleh Utusan Malaysia dan Bestari oleh Harian Metro banyak membantu memberi publisiti berterusan kepada Universiti kerana pelbagai berita pencapaian dan program Universiti dapat dikongsikan.

“Pada tahun 2013, jumlah keratan paparan berita USIM di dalam akhbar adalah sebanyak  838 dengan nilai PR Value mencecah RM22, 976,199.30. Pada tahun ini pula, sehingga 15 Mei 2014, jumlah keratan akhbar mengenai USIM telah mencecah 416 dengan PR Value semasa adalah sebanyak RM11,578,772.43. Walaupun baru penggal pertama, ini jelas menunjukkan kerjasama hebat yang ditunjukkan para media sekalian mampu melonjakkan imej dan publisiti USIM ke khalayak umum”,tambah beliau.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan dari pelajar kebudayaan USIM. Hadir sama pada malam tersebut Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan Kakitangan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm).

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Penolong Pegawai Media StraComm