NILAI, 20 Jan 2014 – Mencipta kelainan bagi meraikan hari bahagia mereka, pasangan pengantin Abu Bakar Saho dan isterinya, Amina Saho mendapat peluang untuk merasai majlis resepsi persandingan mengikut adat budaya masyarakat Melayu. Majlis persandingan yang dilangsungkan secara sederhana tetapi meriah telah diadakan bertempat di Galeri Bangunan Hal Ehwal Pelajar.

Abu Bakar Saho yang berasal dari Gambia merupakan alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah bergradusi pada Majlis Konvokesyen Ke-11 USIM baru-baru ini dalam bidang Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) manakala pasangannya, Amina Saho, merupakan seorang guru bahasa Inggeris di Krabi, Thailand  yang berasal dari Manchester, United Kingdom  dan berhijrah ke sana setelah memeluk Islam kira-kira 5 tahun yang lalu.

Majlis resepsi persandingan Melayu ini diaturkan hasil inisitif Persatuan Pelajar Antarabangsa (ISS) USIM dan mendapat kerjasama dari Unit Kebudayaan dan Kesenian Bahagian Hal Ehwal Pelajar bermula pada jam 12.30 tengah hari. Lengkap dengan busana tradisional Melayu, pasangan pengantin diarak dengan bunga manggar dan alunan kompang ke pentas pelaminan yang bertemakan merah hati dengan diiringi pelajar antarabangsa USIM serta sahabat handai terdekat.

Majlis persandingan bertambah seri dengan kehadiran YBhg. Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Dekan FSU, Dr Yasmin Hanani Mohd Safian serta para pensyarah dan tetamu jemputan.

Naib Canselor dalam ucapan bagi meraikan pasangan ini menyatakan harapan untuk melihat majlis seperti ini yang menonjolkan adat dan budaya masyarakat di Malaysia kepada pelajar antarabangsa dapat diteruskan. Menurutnya lagi, ia merupakan satu bentuk pengantarabangsaan budaya dan keunikan rakyat Malaysia.

“Saya mendoakan kepada pasangan pengantin ini kekal selamanya dengan ikatan suci ini. Walaupun datang dari dua benua (negara) berbeza yang pastinya mempunyai kelainan bahasa, budaya dan resamnya. Ambillah peluang ini untuk menyelami perbezaan ini sebagai satu rahmat dan hikmah dari Allah SWT,” katanya.

Perkenalan Abu Bakar dengan pasangan bermula atas inisiatif rakan baiknya, Rushdy Muktar, pelajar antarabangsa USIM yang berasal dari Thailand. Atas faktor jarak, medium online iaitu Facebook dan Skype menjadi penghubung untuk mengenali antara satu sama lain sehingga membawa kepada persetujuan bersama untuk mengikat tali pernikahan pada 5 Januari lalu.

Abu Bakar yang juga merupakan peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2013, melahirkan rasa penghargaan atas majlis yang diaturkan untuk mereka berdua dan mengucapkan terima kasih kepada Pengurusan Universiti yang banyak membantu beliau sepanjang bergelar pelajar di USIM sebelum ini.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA