NILAI, 29 Ogos – Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terus meriah walaupun hampir menuju akhir Syawal dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga turut tidak ketinggalan meneruskan tradisi tahunannya untuk menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri 1434H bertempat di Stadium Tertutup Nilai.

Majlis Sambutan Aidilfitri USIM yang diurusetiakan oleh Badan Kebajikan dan Kakitangan (BKK USIM) dengan kerjasama pelbagai jabatan berlangsung dalam suasana meriah yang bertemakan ‘Merdeka Raya’  kerana warga USIM juga amat teruja untuk menonjolkan semangat patriotisma sempena menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-56.

Sebanyak 19 buah gerai telah disediakan yang dihias mengikut tema Hari Raya Aidilfitri dan Merdeka hasil kerjasama kakitangan pelbagai jabatan di USIM seperti Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar, Fakulti-Fakulti, Jabatan Perpustakaan, Pusat Kecemerlangan dan lain-lain yang mengajikan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa. Para tetamu turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan seperti Bank Akustik Kakitangan USIM dan karaoke lagu Raya.

Antara gerai yang menyajikan menu yang menarik seperti Fakulti Pergigian (Roti Kebab dan Shawarma), Jabatan Pendaftar (Lemang dan Rendang), Jabatan Canselori (Nasi Kerabu), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (Nasi Arab), Pusat Sukan (Bihun Tomyam) dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (Rojak dan Pesembur).

Turut hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri USIM adalah YBhg. Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin, YBhg. Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Pengurusan Universiti, anggota keselamatan, masyarakat sekitar dan rakan media.

“Kemeriahan sambutan Aidilfitri ini menunjukkan bahawa peri pentingnya nikmat keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara dipelihara. Tanpanya, pasti suasana pada hari ini akan berbeza dan seharusnya warga USIM memanjatkan rasa kesyukuran atas rahmat dan limpahan rezeki pada kita. Ini kerana masih ada saudara kita di luar sana yang tidak berpeluang merasai dan meraikan Aidilfitri juga erti sebuah kemerdekaan,” ucap Naib Canselor ketika merasmikan majlis ini.

Sempena majlis ini juga, Universiti turut meraikan dan menghargai kakitangan Bahagian Keselamatan dan Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti masing-masing seramai 56 orang dan 9 orang yang bertugas pada 1 Syawal demi kesejahteraan dan keselamatan USIM dengan pemberian hamper. Beberapa pertandingan sampingan turut diadakan seperti Gerai Paling Popular, Gerai Ceria Merdeka Raya, Gerai Paling Patriotik, Penampilan Busana Syawal Paling Menarik dan Persembahan Paling Menarik.

Dalam kemeriahan majlis ini, Naib Canselor mewakili warga USIM turut menyampaikan sumbangan kewangan hasil kutipan derma kilat kepada Encik Nazrul Hisham Shoib, Penyelia Asrama Kolej Kediaman Pandan Indan apabila kediaman beliau telah terbakar dan peralatan penting keperluan rumah ranap serta hangus dijilat api pada pagi 1 Syawal.

Disediakan oleh:

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm