NILAI, 2 April 2018 – Bertemakan Wasatiyyah Asas Transformasi Belia, penganjuran Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN tahun ini memasuki edisi keenam dengan mempertandingkan 7 acara utama.

Pada tahun ini turut diperkenalkan 2 acara baru iaitu Pertandingan Memanah dan Pertandingan Debat Bahasa Arab jemputan Sekolah Menengah Asia Tenggara.

USIM menggondol Johan Pidato Dwibahasa dan kemenangan keseluruhan bagi acara memanah individu lelaki dan wanita yang merupakan acara baru tahun ini. Selain itu, mendapat tempat kedua bagi acara Qari lelaki dan Nasyid,

Antara objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta agar dapat menimba pengalaman bersaing dalam pertandingan di peringkat antarabangsa. Selain menonjolkan keunikan ilmu Islam yang boleh di sampaikan dalam pelbagai kaedah dakwah melalui bakat peserta berhujah dan berpidato pada masa yang sama mengeratkan ukhuwah belia Islam dari pelbagai negara ASEAN.

Program yang bermula 30 Mac hingga 2 April ini menghimpunkan peserta bagi Pertandingan Debat Bahasa Arab, Memanah, Pidato Dwibahasa (Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab), Debat Bahasa Arab Jemputan Sekolah Menengah Asia Tenggara, Tilawah Al-Quran dan Nasyid.

Menurut Prof Dato Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni) penyertaan pertandingan Ihtifal IPT ASEAN kali ini adalah sangat membanggakan dan bilangan peserta keseluruhan mencecah 235 orang di mana bilangan peserta dari Malaysia adalah seramai 159 orang manakala bilangan peserta luar negara adalah seramai 76 orang. Selain itu, Ihtifal kali ini turut melibatkan 84 orang hakim dan juri dari dalam dan luar negara. Jumlah ini adalah merangkumi penyertaan dari 24 institusi pengajian tinggi keseluruhan yang terdiri dari 12 institusi dalam negara dan 12 institusi luar negara termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. 8 penyertaan sekolah menengah pula merangkumi 5 sekolah menengah dalam negara dan 3 sekolah menengah luar negara.

“Penganjuran pertandingan ini juga dilihat dapat mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim antara semua peserta dari pelbagai negara serta meluaskan jaringan perkongsian ilmu yang bermanfaat dan berguna agar dapat menjurus ke arah pembangunan dan pembinaan ummah yang lebih mantap rohani dan inteleknya”, tambah beliau yang berucap mewakili Naib Canselor.

Majlis Perasmian Penutupan Ihtifal IPT ASEAN 2018 dirasmikan oleh Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204