Nilai, 19 April 2014 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini giat menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan salah satunya melalui pelaksanaan Program Belia Islam Selamat dan Sejahtera (BLISS) siri kedua.  Tumpuan program kali ini adalah kepada penduduk di taman dan kawasan sekitar USIM.

Program selama sehari bermula pada jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari kalangan warga penduduk Taman Desa Anngerik, Nilai.  Yang lebih menarik, penglibatan tidak terhad kepada kelompok tertentu iaitu dari umur 6 hingga 17 tahun malah ibu bapa turut serta menjayakannya.  Program seumpama ini dijalankan di Surau Taman Desa Anggerik, Nilai ini dikelolakan oleh 19 orang kakitangan dan 40 orang pelajar USIM.

Secara amnya, Program BLISS diadakan bertujuan menyalurkan ilmu dan kepakaran warga USIM yang terdiri daripada kumpulan kakitangan pentadbiran, warga pendidik serta pelajar kepada penduduk setempat. Ia merupakan satu pendekatan yang berkesan untuk ahli masyarakat kawasan sekitar USIM mengenali USIM dengan lebih dekat disamping mengeratkan hubungan silaturahim sedia ada.

Melalui pelbagai aktiviti praktikal yang di atur, sambutan dan penyertaan daripada ibu bapa dan kanak-kanak amat memberangsangkan. Antara aktivitinya adalah bengkel celik solat, taklimat dan praktikal cara penyembelihan halal, taklimat dan demonstrasi penjagaan gigi dan tangan, bengkel motivasi, bengkel cup cake, eksplorasi, gotong-royong memasak malah pemeriksaan kesihatan turut disediakan.

Program yang dijalankan dengan kerjasama dan sokongan penuh dari Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya serta Unit Kesihatan Pelajar USIM telah mendapat maklumbalas positif. Program ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang kerana banyak elemen bermanfaat yang diberi perhatian, di ajar dan diterapkan sepanjang program berlangsung.

Turut sama menjayakannya adalah ahli Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) dan Urusetia Perlindungan dan Pencegahan Perubatan termasuklah ahli Jawatankuasa Surau Taman Desa Anggerik, Nilai yang turun padang mengimarahkan lagi aktiviti kemasyarakatan ini.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar Media StraComm