NILAI, 9 Januari 2019  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada semalam untuk memperluaskan kawasan larangan merokok ke semua institusi pengajian tinggi (IPT). Langkah Kementerian ini tidak menjadi halangan dan kekangan untuk dilaksanakan oleh USIM kerana universiti ini telah menguatkuasakan kampus larangan merokok dan vaping sejak 1 Januari 2016 lagi.

Pada tahun lalu juga, USIM turut menerima penghargaan Anugerah Sijil Blue Ribbon dari Kementerian Kesihatan kerana komited dalam melakasanakan kempen Blue Ribbon yang digerakkan oleh Kementerian Kesihatan. Kempen Blue Ribbon adalah usaha untuk memastikan premis yang menyertai bebas asap rokok dengan di pihak USIM, pelaksanaan kempen ini diterajui oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Sebagai sebuah universiti Islam, USIM perlu selari dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke – 37 yang bersidang Kali Ke – 37 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan dengan jelas bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.

PKU USIM telah diberi mandat Pengurusan Universiti bagi melaksanakan Kempen USIM sebagai Kampus Larangan Rokok dan Vaping secara meluas di seluruh kampus sejak 2016 hingga kini. Banyak program dan aktiviti yang telah dilaksanakan bagi memastikan USIM sebagai Kampus Larangan Merokok dan Vaping antaranya ceramah kanser, Klinik Berhenti Merokok yang diadakan setiap Rabu,melantik pegawai penguatkuasaan dalam kalangan staf dalaman universiti, mengenakan bayaran kompaun dan melaksanakan aktiviti-aktiviti kempen kesedaran tidak merokok dan berhenti merokok dengan berkolaborasi dengan pihak yang berkaitan.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032