Putrajaya, 5 Mac 2009 – USIM telah menyerahkan sumbangan bernilai RM 25,882.69 kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk disalurkan kepada Tabung Rakyat Palestin, Kementerian Luar Malaysia.

USIM yang diwakili oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Haji Husin, Naib Canselor USIM, telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada YB. Datuk Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KPT serta pelancaran e-Pmo dan biasiswa tenaga akademik IPTA yang diadakan di Auditorium E, Putrajaya.

Pelbagai kaedah telah dilaksanakan untuk menjayakan  program kutipan Tabung Sumbangan Derma Tabung Palestin ini yang dilakukan bermula dari 13 Januari sehingga 23 Februari 2009 dan ia telah berjaya mengumpul sejumlah kutipan yang memberangsangkan.

Antara objektif program ini adalah untuk menunjukkan sokongan moral dan rasa simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin dengan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui kutipan derma yang diadakan dalam program ini dan menyemai semangat serta sifat persaudaraan Islamiyah tanpa mengenal sempadan geografi.

Program ini telah mencapai matlamatnya dengan berjaya menanamkan kesedaran mendalam berkaitan isu Palestin di samping sifat prihatin dan simpati seterusnya bertindak dengan memberikan sumbangan derma kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas.

Oleh :
pro@usim.edu.my
8025/8026/8028