ALAMANDA,  23 Mei 2015 –  Program USIM Street Dakwah meneruskan aktiviti menyampaikan dakwah menerusi busking muzik di Pusat Membeli belah Alamanda Putrajaya bagi membantu kutipan dana untuk pelarian Rohingya.

Program USIM Street Dakwah yang sebelum ini telah mengembara ke Pasar Seni Kuala Lumpur, Dataran Merdeka dan Alor Setar, Kedah dalam misi menyampaikan dakwah mereka telah memilih pusat membeli belah Alamanda Purajaya sebagai lokasi bagi tujuan murni tersebut. Pusat Kebudayaan USIM selaku peneraju program telah bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia dan Alamanda Putrajaya. Program ini bermula sekitar jam 3.30 petang di lokasi berhampiran The Hub Alamanda Putrajaya.

Dunia Islam hari ini diwarnai lagi dengan cerita sedih yang menyayat hati.  Nasib pelarian Rohingya yang kebuluran di tengah laut dan kisah ‘ ikat perut’ yang berlanjutan lebih daripada sebulan ditengah lautan telah menyentuh hati pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Melalui program USIM Street Dakwah, sekumpulan anak muda pelajar USIM yang aktif dalam aktiviti seni budaya telah turun kepada komuniti Putrajaya berkongsi kesedihan dan mengutip dana bagi menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya.

Apa yang menarik dalam USIM Street Dakwah ialah penggunaan medium seni budaya sebagai usaha mendekati masyarakat selain pengisian persembahan seni yang baik dan memberi manfaat untuk menyampaikan dakwah.  Setiap lagu yang disampaikan mempunyai mesej- mesej kebaikan yang mengajak khalayak menghayati makna instrinsik setiap lirik dan lagu yang disampaikan.

USIM Street Dakwah menampilkan USIM Buskers hasil gabungan ahli kelab Urus Setia Kesenian Pelajar USIM daripada pelbagai fakulti yang aktif dalam aktiviti seni budaya di kampus. Persembahan USIM Buskers menampilkan persembahan band akustik, ensemble perkusi, bertaranum, tarian tradisi dan Cak Lempong. USIM Street Dakwah memilih konsep busking oleh kerana pendekatan seperti ini lebih santai, berkesan dan mudah mendekati masyarakat.

Menurut Encik Ismail Ahmed selaku Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, usaha yang dilakukan oleh USIM Buskers ini sangat terpuji bukan sahaja daripada segi moral dan perasaan empati mereka kepada masyarakat malah ianya memberi perspektif bahawa pelajar USIM sentiasa ingin kehadapan dalam isu- isu kemanusiaan bukan sahaja untuk masyarakat Malaysia malah di peringkat antarabangsa apatah lagi pelarian Rohingya adalah saudara Islam yang kini tertindas.

Menurut beliau lagi, hasil sumbangan dan kutipan pada hari tersebut diserahkan kepada wakil Islamic Relief, sebuah badan NGO yang sentiasa mendepani usaha- usaha kemanusiaan di seluruh dunia. Pada hari yang sama pusat membeli belah Alamanda Putrajaya juga melancarkan UniCard yang bertujuan memberi kemudahan kepada pelajar- pelajar universiti membeli belah di Alamanda Putrajaya.

USIM Street Dakwah bermula dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan perkusi disusuli persembahan band akustik, tarian zapin dan cak lempong dan menampilkan pengacara Zul Afkar Husna yang menggunakan elemen Dikir Barat berjaya mencuit hati audiens yang menonton persembahan USIM Buskers. Selain itu keunikkan suara Mohd Husainy Mahmur dalam menyampaikan bacaan beberapa petikan ayat Al- Quran selain bacaan doa bagi pelarian Rohingya sangat menyentuh hati audiens. Mohd Husainy yang juga Johan Qari Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Sembilan 2015 telah mewakili Malaysia dalam pertandingan tilawah Al- Quran peringkat remaja dunia di Tehran baru- baru ini.

Pada sesi penutup, Encik Ismail Ahmed, selaku wakil USIM telah menyampaikan hasil kutipan kepada wakil Islamic Relief Malaysia. Usaha murni yang dilakukan oleh sebilangan pelajar USIM ini wajar diteruskan. Mengambil inisiatif bagi memperluaskan lagi usaha- usaha dakwah tersebut, Pusat Kebudayaan USIM akan mengadakan program USIM Street Dakwah Dakwah Perdana yang dijangka pada pertengahan September nanti dengan pengisian yang lebih menarik dan menghimpunkan persembahan- persembahan seni budaya selain mengajak khalayak membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Disediakan oleh:

Ejen Berita (EB Nur Afiradina Arshad)

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204