NILAI, 9 JAN 2015 –Sebagai tanda sokongan kepada usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meringankan para mangsa yang terlibat dalam musibah banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) member sumbangan sebanyak RM 10,000 kepadaTabung Bantuan Banjir KPM.

Sumbangan ini disampaikan sempena Majlis Pelancaran Tabung Bantuan Banjir KPM di Dewan Jamuan Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh YB Dato Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II sebentar tadi. Pihak USIM di wakili oleh Encik Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar bagi pihak Naib Canselor.

Pada majlis ini, sebanyak RM1.5 juta Berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta. Sumbangan ini diserahkan kepada Datuk Zuraidah Atan, Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang turut hadir di majlis ini. Antara IPT yang menyumbang ialah Universiti Malaysa, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Kelantan,Universiti Malaysia Perlis, Universiti SEGi, MAHSA University, Sunway University dan Taylor’s University.

Menurut Muhammad Haizuan, sumbangan yang diberikan oleh USIM kepada tabung ini sebagai tanda sokongan kepada inisiatif murni yang dibuat oleh KPM. Di pihak Universiti, nilai sumbangan yang telah diberikan lebih besar sebenarnya melibatkan kos logistik, pembelian barangan pembersihan, keperluan harian dan lain-lain untuk misi bantuan yang dijalankan iaitu mencecah RM 100, 000.

Semenjak musibah banjir besar melanda, USIM telah menggerakkan kempen USIMPRIHATIN bagi mengumpul sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan daripada warganya dan masyarakat sekitar Nilai. Selain bantuan dalam bentuk kewangan, USIM turut menggerakkan tenaga sukarelawan dikalangan kakitangan dan pelajar.

USIM juga turut sama terlibat dalam menjayakan Ops Pasca Banjir yang digerakkan oleh KPM bermula 1 Januari lalu melibatkan sasaran 50,000 sukarelawan pelajar dan staf IPT seluruh negara.

Setakat ini, dua kumpulan sukarelawan seramai 120 orang telah dihantar ke Gua Musang, Kelantan pada 2 hingga 4 Januari dan Temerloh serta Jerantut, Pahang pada 7 hingga 9 Januari lalu. Kumpulan sukarelawan pelajar seramai 240 orang yang terdiri daripada gabungan pelbagai badan beruniform di USIM akan mula bergerak dalam tiga kumpulan selepas ini yang memfokuskan gerak kerja pembersihan dan agihan bantuan ke daerah Gua Musang kembali.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204