KUALA LUMPUR, 27 MEI 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melanggan sebanyak 10,000 naskah akhbar pendidikan Tutor terbitan Utusan untuk diedarkan kepada 10 buah Sekolah Kluster dan Angkat USIM yang terpilih untuk digunakan sebagai rujukan tambahan di sekolah. Tutor PT3 dan Tutor SPM yang akan diedarkan kepada sekolah-sekolah ini kelak bertujuan untuk menjadi rujukan tambahan kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting ini tidak lama lagi.

Menurut Naib Canselor Prof Dato Dr Musa Ahmad , Projek Rintis Langganan Akhbar Tutor kepada Sekolah Kluster dan Angkat USIM adalah antara komitmen Universiti untuk bersama-sama dengan Pentadbiran Sekolah meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Sehingga kini, USIM mempunyai 26 buah Sekolah Angkat dan 14 buah Sekolah Kluster.

“Langganan Tutor ini juga adalah tanda USIM mengiktiraf keistimewaan akhbar berbentuk pendidikan ini kerana kandungannya adalah tepat dari segi format kandungan iaitu menepati format peperiksaan dan nota ringkas yang mudah difahami utnuk rujukan. Ia juga dilihat memenuhi keperluan  guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas,” jelas Dato Musa.

Pemilihan guru-guru penggubal soalan peperiksaan yang sudah terbukti kemampuan mereka untuk menyediakan soalan-soalan di dalam Tutor dilihat mampu memberi persiapan awal untuk para pelajar menghadapi soalan peperiksaan sebenar. Variasi soalan-soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga selari dengan Korikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang digubal oleh Kementerian  Pendidikan.

Sebagai permulaan, 10 buah sekolah dipilih terlebih dahulu untuk menerima langganan ini antaranya SMKA Durian Guling, Kedah; SMKA Sultan Azlan Shah, Perak; SMA Persekutuan Kajang, Selangor; SMK Taman Tunku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan; SMKA Sharifah Rodziah, Melaka; dan SMA Sultan Ismail, Dungun Terengganu.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204