NILAI, 29 OGOS 2016 –     Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut seruan Menteri Pengajian Tinggi dalam menyediakan keperluan flexible education dengan menawarkan Program Dwi-Ijazah (Double Degree) bermula sesi  akademik 2016/2017 yang berlangsung sejak semalam 28 Ogos 2016 bertempat di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM Prof Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, tahun ini USIM menawarkan tiga program bagi dwi-Ijazah iaitu bagi program Sarjana Muda Kaunseling dengan Sarjana Muda Quran dan Sunnah, Sarjana Muda Sains (Bioteknologi Makanan) dengan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, serta Sarjana Muda Sains Komputer ( Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dengan Sarjana Muda Quran dan Sunnah.

“Mereka akan diberi tawaran ketika di semester lima untuk sambung pengajian ke Program Ijazah kedua berdasarkan pencapaian dan kelayakan akademik. Double degree ini akan mengambil masa 5 tahun pengajian iaitu 2 tahun pengajian untuk Ijazah Pertama manakala 3 tahun berikutnya untuk mendapatkan Ijazah Kedua”.

“Apa yang menariknya tentang dwi Ijazah di USIM ini, selain untuk memenuhi keperluan pasaran dalam bidang Profesional, USIM berhasrat untuk menyediakan pelajar multidisciplinary dengan memantapkan  ilmu agama serta fokus kepada menghafaz 30 juzuk Al- Quran  untuk menjadikan mereka sebagai seorang ‘Future Muslim Nobel Laurete’ satu hari nanti”, tambah Prof. Zulkiple.

Manakala menurut Ketua Bahagian Pengajian Akademik Encik Hammad Farhi Mohd Saudi, seramai 2067 pelajar yang mendaftar sebagai pelajar Baharu USIM sesi akademik 2016/2017 iaitu seramai 577 Lelaki dan 1490 perempuan.

“Setakat ini seramai 15 orang pelajar Antarabangsa yang turut mendaftar di USIM antaranya dari Singapore, Brunei, Thailand, Indonesia dan Nigeria”, tambah Encik Hammad.
Muhammad Ridauddin Ruzuki, 19, berasal dari Kuantan Pahang merupakan pelajar lepasan STAM dari Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong, Kelantan melahirkan rasa bersyukur apabila beliau terpilih sambung pengajian di USIM dalam program  Bahasa Arab dan Komunikasi.

“Akan menjadikan ini adalah cabaran untuk memantapkan kemahiran komunikasi Bahasa Arab serta berharap untuk menjadi Penceramah Bebas seperti Ustaz Kazim Elias suatu hari nanti dengan harapan dapat berkongsi ilmu dan mengajak kawan-kawan di kampung ke arah kebaikan”, ujar Ridauddin.

Sementara itu, dua sahabat karib sejak sekolah menengah, Ainun Najihah Abu Sarin dan Nurul Izzati Razali, 19, tidak sangka dapat menyambung pengajian di tempat yang sama dan Fakulti yang sama iaitu Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Masing-masing bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204