NILAI, 19 Nov – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dipilih oleh Vision Motor Sports Sdn Bhd dengan kerjasama EAG Consulting Sdn. Bhd untuk menerima sumbangan 30 unit panel solar bernilai RM 90,000.00 yang akan dipasang di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM bagi tujuan projek penyelidikan tenaga hijau.

Majlis simbolik penyerahan panel solar telah disempurnakan sendiri oleh Pengerusi Vision Motor Sports Sdn. Bhd, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib bersama YM Raja Hizad bin Raja Kamarulzaman, Pengarah Urusan EAG Consulting Sdn. Bhd kepada USIM yang diwakili oleh Profesor Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Melalui sumbangan panel solar ini, ia juga merintis jalinan kerjasama antara USIM bersama Rakan Industri baharu apabila turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara USIM bersama Vision Motor Sports Sdn. Bhd serta EAG Consulting Sdn. Bhd.

Menurut YM Raja Hizad Raja Kamarulzaman, sumbangan panel solar kepada USIM adalah sebagai salah-satu  tanggungjawab sosial (CSR) syarikat untuk kelestarian alam sekitar selari dengan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan kesan rumah hijau.

“Sumbangan solar panel ini tepat pada masanya kerana USIM sendiri berhasrat untuk menjadi IPTA yang mesra alam (environmental friendly) dari segi penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Justeru itu, saya dimaklumkan bahawa panel solar ini akan digunakan sebagai projek rintis mewujudkan stesen pengecas telefon bimbit dan komputer riba pelajar. Selain itu, ia akan dimanfaatkan dalam penyelidikan LED street lighting oleh pensyarah FST,” ulas YM Raja Hizad.

Profesor Dr. Mustafa Mohd Hanefah berkata, Universiti amat mengalu-alukan sumbangan panel solar ini serta kesudian Vision Motor Sports Sdn. Bhd serta EAG Consulting Sdn. Bhd untuk turut memeterai MoU bersama USIM.

Tambahnya, “Jalinan MoU ini akan membuka ruang kerjasama yang menguntungkan antara USIM dan kedua-dua rakan industri ini antaranya mewujudkan tempat latihan industri kepada pelajar USIM dan berkongsi kepakaran dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang berpotensi.”

EAG Consulting Sdn. Bhd memaklumkan, USIM adalah institusi kedua berkelayakan yang dipilih untuk menerima sumbangan panel solar ini selepas projek pertama kepada Sekolah Mutiara International Grammar School, Ampand pada bulan September lalu. EAG Consulting Sdn. Bhd. bertindak sebagai pemudah cara pemberian panel solar tersebut dari pihak Vision Motor Sdn Bhd kepada penerima.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm